Pelakon Jasmine Suraya pada sidang media. FOTO FATHIL ASRI
Pelakon Jasmine Suraya pada sidang media. FOTO FATHIL ASRI
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Jasmine Suraya bakal melanjutkan pengajian di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) dan menjadi rakyat Malaysia pertama diterima di akademi berprestij itu.

Jasmine, 34, berkata dia akan berangkat bulan depan dan memutuskan berehat sebentar daripada dunia seni bagi mengikuti pengajian bidang lakonan 'method' yang mengambil masa selama setahun di sana.

"Proses memohon sangat-sangat sukar. Saya kena tulis dua esei, uji bakat, dan temu duga. Memang sangat susah diterima masuk dan bila dapat tawaran itu, saya sangat terkejut. Ini peluang satu dalam sejuta dalam hidup dan rugi kalau tak hidup.

"Keputusan sukar dan rasa agak sayang apabila bila nak pergi, tiba-tiba banyak tawaran berlakon. Ada dari Indonesia, dipelawa membintangi Khunsa, OTT. Tapi saya rasa sangat penting sambung pengajian," katanya.

Anak jati Kuching, Sarawak itu berkata dia secara spesifik memilih akademi itu kerana pernah menempatkan alumni terkenal termasuk Marilyn Monroe, Scarlett Johansson, Angelina Jolie, Al Pacino, Lady Gaga, Chris Evans, dan lain-lain.

"Saya mohon awal tahun ini tapi dapat keputusan agak lambat pada Julai. Saya memang pilih akademi ini kerana melihat alumni-alumninya pernah memenangi Oscars. Saya nak belajar daripada yang terbaik.

"Menjadi satu-satunya pelajar dari Asia untuk pengambilan kali ini adalah satu penghormatan. Akademi itu adalah satu-satunya institusi menawarkan bidang 'method acting' dalam dunia," katanya.

Dalam pada itu, Jasmine masih berharap permohonannya mendapat tajaan dana beberapa agensi kerajaan akan mendapat maklum balas. Ini kerana kos sepanjang pengajiannya menelan kos sekitar RM300,000.

Ia termasuk badan kerajaan di Sarawak dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dia benar-benar berharap agar hasratnya mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan.

"Saya percaya, bidang seni ini walaupun ada pihak anggap tidak begitu penting, tetapi bidang seni juga mampu membawa keuntungan kepada sektor ekonomi negara.

"Berilah peluang kepada kami anak-anak seni ini untuk raih ilmu yang terbaik dan kemudiannya dapat kembali berbakti kepada industri perfileman negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 4:18 PM