JASMINE Suraya Chin. FOTO arkib NSTP
JASMINE Suraya Chin. FOTO arkib NSTP
Georgie Joseph


JIKA anda lelaki pemalas dan tidak ada hala tuju dalam hidup, jangan harap untuk mendekati pelakon dan pengacara jelita, Jasmine Suraya Chin.

Jasmine, 28, berkata, dia langsung tidak tertarik dan serta-merta akan hilang minat sekiranya didekati lelaki sedemikian walaupun mereka tergolong dalam orang berada.

“Setiap kali ada yang mendekati dan saya mendapat tahu mereka lelaki jenis pemalas serta tidak mahu berusaha, serta-merta saya hilang minat. Apatah lagi jika lelaki itu tiada hala tuju dalam hidup, memang mereka bukan lelaki idaman saya.

“Bagi saya, setiap lelaki wajib rajin berusaha memajukan diri dan tahu bagaimana hala tuju hidup mereka. Bukan bermaksud dalam berpasangan hanya lelaki kena menanggung serba-serbi tapi janganlah jadi pemalas.

“Saya pernah berjumpa lelaki bertaraf hartawan yang memiliki perangai begitu. Bukan semua tapi kesimpulannya, walau apa juga status seseorang lelaki, dasarnya lelaki itu harus sentiasa bekerja-keras,” kata pelakon asal Kuching, Sarawak ini.

Menurut bintang filem Paskal ini, setakat ini di belum pernah berdepan pengalaman ‘dihimpit’ golongan VIP sejak namanya mula dikenali dalam industri hiburan tanah air.

“Belum ada lagi pengalaman begitu dan saya harap tidak akan ada. Namun, saya selalunya tidak perasan jika ada lelaki sukakan saya pun,” katanya bergurau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 5:01 PM