Donnie bersama anak perempuannya
Donnie bersama anak perempuannya
Agensi

Hong Kong: Anak perempuan kepada bintang filem aksi IP Man, Donnie Yen iaitu Jasmine Yen mengambil keputusan untuk mengikut jejak langkah bapanya dengan menceburkan diri dalam dunia seni.

Bukan dalam lakonan sebaliknya Jasmine lebih cenderung kepada nyanyian. Jasmine, 19, menerbitkan single pertama berentak pop, rock dan balada number idk pada Jumaat lalu.

Dia dilaporkan menandatangani rekod bersama syarikat rakaman Sony Music Entertainment's RCA Records Greater China.

"Saya sangat bersyukur mendapat tawaran dalam bidang muzik yang diberikan RCA Records Greater China. Ini adalah peluang keemasan buat saya untuk mengejar cita-cita menjadi artis rakaman dan seterusnya bergelar penyanyi," kata Jasmine dalam satu kenyataan media.

Jasmine membuat kemunculan pertama bagi persembahan secara langsung pada acara Majulah Music Night di Singapura, hujung minggu lalu.

Dia menyampaikan beberapa lagu baharu yang akan dimuatkan dalam album baharunya yang akan dikeluarkan pada 1 September depan.

Jasmine adalah anak sulung Donnie yang dilahirkan di Kanada dan dibesarkan di Hong Kong serta Shanghai. Dia mula menunjukkan bakat dalam bidang seni sejak kanak-kanak dan sudah menulis lebih 70 lagu dengan 30 daripadanya dihasilkan ketika pandemik Covid-19.

Tahun lalu, Jasmine dilaporkan mendapat tajaan biasiswa melanjutkan pengajian di institut pengajian terkemuka Kolej Muzik Berklee di Amerika Syarikat. Dia kini menangguhkan sementara pengajiannya untuk memberi tumpuan kepada karier nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 3:25 PM