Zain Saidin.
Zain Saidin.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Zain Saidin tampil bersuara menyelar individu yang mengutuk wajah Liyana Jasmay tanpa solekan menerusi video yang dimuat naik di Tik Tok.

Zain juga suami kepada pelakon Rozita Che Wan berkata, dia terpanggil untuk membuka mulut bukan kerana status Liyana sebagai artis sebaliknya berpendapat tindakan itu sebagai tidak sensitif.

"Saya bersuara bukan kerana dia adalah artis dan sebagainya. Jika diikutkan sebelum kahwin pun Liyana pernah mempersoalkan kenapa Che Ta memilih untuk berkahwin dengan saya. Itu menunjukkan saya bersikap adil.

"Komen yang ditinggalkan itu sangat salah dan harus ditegur. Bagaimana individu itu boleh berkata tak tahu macam mana suaminya boleh suka.

"Awak tidak mengenali Liyana, bagaimana anda juga tidak mengenali isteri saya. Sebelum ini pun ramai mempersoalkan kenapa saya memperisterikan isteri tua dan bukan dengan anak dara.

"Pada permulaan kita memang tertarik dengan paras rupa namun tidak bertahan selamanya. Yang membuatkan saya jatuh cinta adalah sikap, budi bahasa dan dalamannya. Begitu juga dengan suami Liyana. Pasti ada kecantikan dalaman yang menarik hati suaminya," kata Zain.

Zain turut menegaskan paras rupa hanyalah sementara dan kecantikan dalaman berkekalan sampai bila-bila.

"Mungkin awak masih muda, tunggulah sehingga berusia nanti baru awak faham yang mana kecantikan luaran tidak berkekalan. Jadi pada saya, kita sebagai orang Melayu perlu menjaga mulut dan berbudi bahasa.

"Apa pun saya minta maaf kalau menyinggung mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, Liyana memuat naik video berkongsi kenikmatan menjamah burger selepas tidak cukup tidur dan menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama.

Menerusi video yang dimuat naik, wajah polos Liyana tanpa solekan mengundang beberapa komen nakal yang mengecam paras pelakon itu.

Liyana bagaimana pun tidak melenting dan membalas komen berkenaan dalam bentuk video bersama suaminya. Malah, dia berharap perkahwinan itu berkekalan hingga hujung nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 1:26 PM