ZAIN terikat dengan penggambaran drama.
ZAIN terikat dengan penggambaran drama.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya ralat juga tak dapat sertai majlis meraikan hari jadi isteri pada kali ini kerana terikat dengan penggambaran drama," kata pelakon dan usahawan, Zain Saidin berhubung ketiadaannya di sisi Che Ta dan ahli keluarga lain, baru-baru ini.

Zain, 37, kini sibuk dengan penggambaran drama Kiblat Yang Hilang untuk tayangan Ramadan nanti di Awesome TV. Terdahulu, sebuah drama terbaru lakonannya berjudul Sis Stars Hotel sudah disiarkan di saluran sama.

Menurutnya, selepas agak lama tidak berlakon drama dan kadang-kala hanya tampil sebagai artis jemputan, diakui perasaan rindu nak beraksi tetap ada. Bagaimanapun, katanya dia harus akur kerana tiada tawaran.

"Namun, alhamdulillah sejak tahun lalu walaupun negara berhadapan pandemik Covid-19 tapi, rezeki saya dalam lakonan masih ada. Dapatlah berlakon semula untuk watak yang besar.

"Bagaimanaun, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 itu saya berehatlah seketika dari penggambaran dan sekarang sibuk semula. Bagi saya, mungkin ini masanya untuk betul-betul fokus aktif berlakon," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zain, walaupun kelibatnya tiada pada majlis sambutan hari jadi Che Ta ke-48 yang sederhana penganjurannya itu, dia tetap ada membuat video ucapan istimewa untuk isteri tercinta.

"Sempat jugalah buatkan video ucapan di lokasi bersama rakan lain, dan Che Ta pun faham yang saya tiada bersamanya kerana urusan kerja. Dia langsung tak bising.

"Selain itu, ada juga saya titipkan ucapan hari jadi buatnya di Instagram. Kami sudah biasa meraikannya bersama setiap tahun dan kali ini adalah tahun pertama saya terikat dengan jadual kerja di lokasi," katanya.

Zain sebelum ini cukup dikenali dengan drama berkonsep pendidikan, Oh My English pada 2012 hingga 2017 sebanyak enam musim dengan watak guru, Henry Middleton.

Akibat kemantapan watak Henry Middleton dilakonkan itu, turut 'menyekat' Zain untuk terus mengorak langkah sebagai pelakon berikutan dia dilihat sudah tidak sesuai dengan watak-watak lain kecuali guru.

Katanya, dia tidak pernah memilih watak tapi apakan daya peluang untuknya menyerlahkan bakat lakonan 'terhalang' gara-gara kukuhnya karekter Henry Middleton berkenaan.

Zain bernikah dengan Che Ta atau Rozita Che Wan pada 13 Disember 2013 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 7. Selain itu, Che Ta juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu.

Baru-baru ini, ketika meraikan hari jadi ke-48, Che Ta hanya mengadakan majlis kesyukuran berbentuk kuliah duha yang dihadiri keluarga rapat dengann turut mengundang pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 8:45 PM