YASIN kini mendapatkan beberapa ubat-ubatan serasi dengannya sekali gus mempengaruhi keadaan mental, fizikal dan emosi penyanyi lagu Mimpi Laila itu pada lebih baik. FOTO Arkib BERNAMA
YASIN kini mendapatkan beberapa ubat-ubatan serasi dengannya sekali gus mempengaruhi keadaan mental, fizikal dan emosi penyanyi lagu Mimpi Laila itu pada lebih baik. FOTO Arkib BERNAMA
Norhayati Nordin

Petaling Jaya: Abang kandung penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman iaitu Zain Sulaiman, 51, berpuas hati dengan keputusan laporan kesihatan mental adiknya yang dikeluarkan Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Zain ditemui berkata, dia bersyukur melihat keadaan kesihatan adiknya yang kini sudah berisi dan semakin sihat berbanding dua bulan lalu yang mana berat badannya sekitar 48 kilogram (kg) dan nampak tulang.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana apabila kita melihat keadaan Yasin hari ini amat berbeza berbanding dua bulan sebelum ini. 

"Selepas dirujuk ke hospital di Ulu Kinta, ubatannya diubahkan dan dirawat dengan baik, jadi keadaannya nampak banyak peningkatan dalam kesihatan. 

 "Dia dapat semula berat badannya. Itu yang amat penting untuk keluarga sebenarnya. Kita tengok kesihatan dia pulih dan Alhamdulillah," katanya ketika ditemui media di luar dewan mahkamah di sini, hari ini.

Zain berkata Yasin kini mendapatkan beberapa ubat-ubatan serasi dengannya sekali gus mempengaruhi keadaan mental, fizikal dan emosi penyanyi lagu Mimpi Laila itu pada lebih baik.

Ditanya juga pesanan dititipkan Yasin kepada keluarga, Zain berkata, adiknya memohon agar terus banyak mendoakannya setiap masa dan memang itulah yang dilakukan keluarga untuknya.

"Kami sekeluarga juga akan terus menyokongnya (Yasin) 200 peratus. Kita dari awal sehingga akhir, insya Allah akan terus berada di belakangnya," katanya.

Hari ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menerima laporan psikiatri Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman yang dikeluarkan hospital terbabit.

Dalam laporan itu, antara lain Yasin tidak waras ketika kejadian membabitkan dadah, tahun lalu.

Bagaimanapun, keadaan mentalnya kini bertambah baik sekali gus layak dibicarakan dan boleh membela diri atas tuduhan kes dadah berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 7:19 PM