Saari Amri
Saari Amri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Komposer berkaliber, Saari Amri, 57, bersyukur kepada Allah apabila dikurniakan tahap kesihatan yang baik dan tidak pernah sakit teruk selepas pulih sepenuhnya akibat kemalangan motosikal berkuasa tinggi dialami kira-kira 28 tahun lalu.

Saari atau nama sebenarnya, Saari Jusoh berkata, walaupun dalam badannya kini adalah darah yang pernah didermakan oleh sekumpulan tentera, namun Allah memberi rezeki kesihatan yang baik buatnya.

"Takdir Alllah itu cantik buat saya. Bayangkan, sudah 28 tahun tragedi ngeri kemalangan itu berlalu, namun dari saat saya diberi kesembuhan oleh Allah sampailah sekarang, saya sentiasa sihat dan tak pernah sakit.

"Alhamdulillah, pada usia sekarang ini saya amat bersyukur kerana dilindungi Allah daripada penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, kencing manis (diabetes) dan sebagainya. Malah, saya diberi pula rezeki boleh membantu merawat pesakit diabetes," katanya kepada Harian Metro.

Saari berkata, dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran pada rawatannya kerana diberi secara percuma sebagai memenuhi niat mahu menyumbang semula kepada masyarakat.

"Banyak yang masyarakat beri pada saya dengan menerima baik lagu-lagu dicipta dan hingga sekarang diminati ramai. Bukan saja di radio, tapi platform media sosial dan digital seperti YouTube sangat membantu.

"Saya juga masih ada ilham buat lagu sampai sekarang dan dalam simpanan, sudah mempunyai 1,000 koleksi lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi yang berminat sebab saya pun tidak meletakkan harga yang tinggi.

"Bagi mereka yang minat menyanyi dan inginkan lagu saya untuk dirakamkan, boleh berjumpa dan berbincang. Cuma, lagu-lagu saya tetap sentuhan yang sama macam dulu, tidak berubah," katanya.

Saari yang popular pada era 1990-an, pernah dikenali dengan lagu ciptaannya seperti Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu (Ukays), Butakah Cinta (Spring), Suci (May), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella), Sembilu (Ella), Lamunan Terhenti (Aris Ariwatan), Gerimis Mengundang (Slam) dan banyak lagi.

Pada November 1996 lalu, Saari mengalami kemalangan motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati ditunggangnya di simpang lampu isyarat dan berdekatan sebuah hotel di Ampang sehingga dia merempuh sebuah lori.

Menurut Saari, dia koma dan menerima rawatan selama 21 hari di hospital dan akuinya apa yang dilalui itu umpama 'mati hidup semula'.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 4:24 PM