SAARI melihat kedai makan yang diusahakannya ranap dirempuh kenderaan, semalam.
SAARI melihat kedai makan yang diusahakannya ranap dirempuh kenderaan, semalam.
Oleh Mohamad Yatim Latip

Melaka: Malang bagi seorang peniaga apabila kedai makan yang diusahakan di Jalan Bukit Duyong, Duyong, di sini, ranap dipercayai dilanggar kenderaan awal, pagi kelmarin.

Saari Djowahir, 50, berkata, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi seorang jiran kira-kira jam 7 pagi.

“Saya selesai berniaga kira-kira jam 2 pagi dan kejadian dipercayai berlaku selepas saya pulang ke rumah.

“Kedai makan ini disewa daripada pemiliknya sejak tiga minggu lalu.

“Biasanya dua pekerja saya tidur di kedai, namun ketika kejadian mereka keluar bertemu rakan,” katanya ketika ditemui di kedainya.

Saari berkata, dia hairan bagaimana kejadian itu berlaku dan lebih pelik apabila bahagian depan kedai ranap teruk yang mana sebahagian kerusi, meja, tiang tembok batu, tiang besi atap dan peralatan dapur ranap serta bertaburan.

Menurutnya, berdasarkan pelbagai kerosakan yang berlaku, dia menganggarkan menanggung kerugian kira-kira RM20,000.

Berikutan kejadian itu, Saari membuat laporan di Balai Polis Kandang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:55 AM