Saari Amri.
Saari Amri.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Komposer terkenal Saari Amri, 55, menghargai peminat tempatan serta Singapura, Indonesia dan Brunei terhadap sokongan yang diberikan sepanjang lebih 30 tahun pembabitannya dalam industri muzik.

Saari berkata, ia membuatkan dia lebih bersemangat untuk terus berkarya sehingga sekarang.

"Rasanya dah hampir 30 tahun saya berkarya dalam industri muzik dan hampir 500 lagu pernah saya cipta. Saya berterima kasih kepada peminat Indonesia yang begitu banyak beri sokongan menerusi lagu Gerimis Mengundang nyanyian Slam yang dinyanyikan kembali lebih 30 versi.

"Itulah kepuasan buat saya. Terima kasih banyak-banyak," katanya menerusi YouTube Saari Amri Official. Turut dipaparkan ialah sedutan muzik video lagu Gerimis Mengundang yang dinyanyikan dalam versi dangdut, keroncong, dalam bahasa Batak dan pelbagai lagi.

Saari berkata, dia masih aktif mencipta lagu, namun kebanyakannya disimpan kerana keadaan pasaran sekarang tidak seperti dulu.

"Kalau sebelum ini banyak artis yang buat album tapi sekarang tidak lagi macam dulu. Artis-artis baharu sekarang pula cipta lagu sendiri.

"Pada mereka mungkin itu lebih beri kepuasan. Apapun saya memang seronok apabila menghasilkan lagu baharu yang dinyanyikan oleh artis sekarang walaupun sambutannya agak perlahan

"Saya tidak kisah kalau orang hendakkan lagu saya dan saya tidak menolak. Ada di antara artis baharu kata lagu saya sedap didengar. Itulah kegembiraan buat saya kerana karya saya masih lagi diterima oleh masyarakat," katanya.

Terkini, nama Saari terus menjadi sebutan peminat Indonesia apabila lagu Buih Jadi Permaidani nyanyian asal kumpulan Exists dengan tajuk Mengintai Dari Tirai Kamar menjadi perhatian semula.

Ia apabila Nabila Maharani Widyadewi menerusi saluran YouTube Nabila Suaka memuat naik semula lagu dendangannya bersama Zinidin Zidan pada 22 Oktober lalu yang kini mencatat lebih 45 juta tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 2:38 PM