SAARI AMRI
SAARI AMRI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Komposer terkenal Saari Amri, 55, tetap berpegang teguh dengan pendiriannya tidak mahu menerima pangkat Datuk kecuali status sebagai 'datuk' bercucu.

Saari berkata, walaupun ketiadaan gelaran Datuk itu mengehadkan peluangnya untuk diundang sebagai juri tetap bagi mengadili program pencarian bakat di TV, namun dia tidak sedikit pun berkecil hati.

"Saya pernah dihubungi pihak dari stesen TV yang ingin menawarkan peluang menjadi juri tetap untuk program hiburan mereka. Namun, soalan pertama yang ditanya, adakah saya sudah berpangkat Datuk?

"Apabila saya katakan belum dapat lagi dan berasa tidak layak untuk pangkat Datuk itu, mereka langsung meminta maaf kerana tak dapat memberikan saya tawaran menjadi juri. Bagaimanapun, saya okay saja kerana rezeki daripada Allah," katanya kepada Harian Metro.

Saari berkata, dia hanya mengimpikan gelaran datuk yang bercucu apabila anak-anaknya sudah berumah tangga dan memiliki anak.

Katanya, dia amat selesa menjadi Saari Amri yang sudah biasa orang kenal tanpa perlu memanggil pangkat.

Terdahulu, Saari memaklumkan dia pernah menolak dua kali tawaran pangkat Datuk yang diterima dari negeri Pahang dan Selangor kerana merasakan dirinya tidak layak dan sumbangan kepada negara pun biasa saja.

Mengulas kerjaya penciptaan lagunya, Saari berkata, dia masih ligat menghasilkan lagu baharu dan sehingga kini sudah ada lebih 1,000 karya dalam simpanannya.

Katanya, sekarang tak ada penyanyi yang buat album, namun tak mengapa karya-karya itu menjadi koleksi simpanan.

"Saya kini dalam proses nak menunaikan janji kepada anak bongsu, Amri Farizzuan, 18, yang sangat meminati muzik dan ada bakat boleh digilap dalam nyanyian. Cuma, sekarang dia baharu ambil ijazah dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Tahun lalu saya cabar dia kalau boleh bagi keputusan lima kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru saya akan buat lagu istimewa untuk dia dan tak sangka dia dapat enam kredit pula. Jadi, kenalah tunai janji," katanya.

Saari berkata, dia tiada halangan untuk anak-anaknya menceburi kerjaya seni.

Bagaimanapun, nampaknya anak bongsu yang lebih berminat dan perlu disokong. Lagipun, dia juga tidak leka dengan pelajarannya.

Saari berkata, hingga kini dia sangat berpuas hati dengan pencapaiannya yang dianggap hebat apabila lagu Gerimis Mengundang yang dicipta dan dinyanyikan kumpulan Slam sudah dirakam lebih 30 bahasa. Baginya, ia satu penghargaan besar sebagai penggiat seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:11 PM