AMIR berduet dengan sifunya yang juga komposer Saari Amri.
AMIR berduet dengan sifunya yang juga komposer Saari Amri.
Ridzuan Abdul Rahman


Riak kepuasan terpancar di wajah Amir Ukays apabila berjaya melaksanakan persembahan solo selama dua jam di Restoran D’Saji KL Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan itu turut mencipta sejarah tersendiri kerana pertama kali Amir beraksi di ibu kota selepas 25 tahun bergelumang dalam bidang seni.

“Saya pernah beraksi di Hard Rock Cafe Pulau Pinang dan Hard Rock Cafe Melaka. Istimewanya, untuk persembahan di sini saya pilih menyanyikan lagu Saari Amri.

“Semua lagu yang dinyanyikan adalah lagu popular Saari yang menepati cita rasa peminat. Ada yang sukakan lagu ini dan ada pula yang meminati lagu lain ciptaannya,” katanya.

Keseluruhannya Amir menyanyikan 18 lagu dan dia masih nampak berbisa apabila mendendangkan lagu popular antaranya Seksa, Sebak, Kau Satu-Satunya, Tergamak Kau, Pahit Akan Manis Akhirnya, Balada Ani, Bila Diri Disayangi, Kekasihku Di Menara, Di Sana Menunggu Di Sini menanti dan banyak lagi.

Tidak kurang menariknya, dia turut menjemput Saari untuk bergandingan menerusi lagu Kita Sama Saja.

“Apabila saya meluahkan hasrat ini kepada Saari, dia mula buat persediaan sejak awal. Saya pernah bercadang untuk batalkan duet ini tapi dia kata sudah buat latihan sendiri.

“Sehari sebelum persembahan, dia sudah berada awal di studio untuk latihan bersama. Inilah komitmen dia. Saya menghargainya dan dia menghargai saya. Susah nak cari komposer seperti dia,” katanya ketika ditemui selepas tamat persembahan.

Saari pula membongkar sejarah apabila menghasilkan lagu Kita Sama Saja untuk menegur Amir yang lupa diri selepas dirinya popular.

“Saya lihat keadaannya sudah berubah dan terdetik untuk mencipta lagu ini. Apapun persahabatan kami seperti saudara dan ibarat air yang dicincang takkan putus.

“Melihat persembahannya, saya berpuas hati kerana Amir masih mampu menyanyi terutama lagu bernada tinggi dengan baik,” katanya.

MASIH mampu menyanyikan lagu bernada tinggi dengan baik.
MASIH mampu menyanyikan lagu bernada tinggi dengan baik.

Bakal tampil dengan single terbaru

Melanjutkan kesinambungan dengan sifunya, Amir bercadang untuk kembali merakamkan single terbaru ciptaan Saari.

“Insya-Allah saya dah bincang dengan dia. Cuma kita maklum dengan pasaran muzik sekarang dan kalau nak buat lagu kena berhati-hati.

“Biarlah sedap didengar supaya dapat tarik minat penganjur tawarkan peluang persembahan. Kalau dulu buat album 10 lagu, hanya ada satu lagu menarik untuk bantu artis dapatkan pertunjukan,” katanya.

Seperkara lagi, Amir mengakui penyanyi tempatan kini berdepan masalah baru untuk mendengar lagu mereka dimainkan di stesen radio.

“Ada lagu yang sudah siap tapi stesen radio enggan mainkan, sedangkan modal sudah banyak dikeluarkan. Saya kasihan melihat penyanyi yang bersusah payah kumpul duit semata-mata untuk buat single.

“Nak mengharapkan syarikat rakaman memang sudah tiada sekarang. Buat lagu tapi kesudahannya lagu tak dimainkan. Bukan di semua stesen radio tetapi hanya membabitkan stesen radio tertentu,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada saluran alternatif lain seperti YouTube, ia belum berupaya mengatasi peranan radio yang dinikmati setiap golongan masyarakat di mana saja.

Dalam perkembangan lain, Amir juga merancang untuk mengadakan persembahan reunion bersama kumpulan lamanya, Analisa serta anggota asal Ukays.

“Ramai yang tak tahu saya pernah bersama Analisa sebelum menyertai Ukays. Saya sudah dapat lampu hijau daripada sebuah syarikat yang bersetuju menjadi penaja.

“Saya juga dalam perbincangan dengan anggota asal Ukays untuk masuk ke pasaran Indonesia kerana penaja mahukan kami ke sana. Ia ibarat projek khas dan kami nak merasa untuk buat konsert di Indonesia. Apatah lagi Ukays ada peminat di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 12:37 PM