Saari Amri
Saari Amri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Komposer terkenal Saari Amri, 55, mengakui dia kini berusaha menjana pendapatan sampingan menerusi perkongsian video lagu-lagu ciptaannya yang dimuat naik di saluran YouTube, Saari Amri Official.

Saari berkata walaupun masih aktif mencipta lagu kerana ada permintaan diterima, namun kebanyakan lagu-lagu baharunya yang dirakam penyanyi baharu didapati kurang berpeluang disiarkan radio.

"Mujur sekarang sudah ada platform media sosial serta saluran YouTube, maka saya ambil juga inisiatif memuat naik video-video lagu saya di YouTube. Setakat ini, sambutannya agak positif.

"Ada juga peminat saya yang menyukai dan menyokongnya. Bagi saya, di mana ada usaha pasti di situ ada jalan. Walaupun ada rasa kecewa dengan stesen radio, tapi tidak mengapa sebab rezeki Allah tentukan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga pendapatan royalti lagu diterimanya, Saari berkata agak terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19. Katanya, ia tidak banyak seperti dulu kerana pusat-pusat karaoke ditutup.

"Kini, nak harapkan royalti pada lagu yang disiarkan stesen radio dan TV saja. Hampir dua tahun Covid-19 melanda negara ini, pusat-pusat karaoke tidak boleh beroperasi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Menurut Saari, dia yang boleh dikata tidak bekerja lagi dan hanya duduk di rumah menghasilkan karya-karya lagu. Katanya, kecintaan pada seni muzik tidak pernah pudar.

"Ilham buat lagu itu sentiasa ada. Saya duduk di rumah pun, banyak juga ilham. Kerja-kerja kreatif ini tidak boleh disekat dan saya layankan saja. Secara tak langsung, koleksi lagu saya memang banyak.

"Saya simpan saja menjadi 'bank lagu'. Jika ada penyanyi berminat merakamkannya, saya okay untuk bekerjasama. Setakat ini, sudah lebih 1,000 koleksi lagu saya hasilkankan," katanya lagi.

Nama Saari dalam penciptaan lagu meledak pada era 1990-an apabila lagu- lagu dihasilkanya untuk penyanyi seperti Ziana Zain, Umbrella, Slam dan Ukays cukup menarik perhatian peminat muzik tempatan.

Antara lagu popular ciptaan Saari ialah Madah Berhelah, Di Sana Menanti Di Sini Menuggu, Bukalah Hatimu, Berkat Kasihmu, Kekasihku Di Menara, Terasa, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 12:23 PM