Anggota BTS, Jungkook ketika berucap menerusi video.
Anggota BTS, Jungkook ketika berucap menerusi video.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan BTS terus unggul apabila merangkul anugerah utama Samsung Galaxy Worldwide Icon of The Year buat kali keenam di MAMA Awards 2023 (MAMA2023), yang berlangsung di Tokyo Dome, Jepun, hari ini.

Bagaimanapun, tiada anggota kumpulan itu yang hadir dan ucapan diberikan cuma menerusi video oleh salah seorang anggotanya, Jungkook. 

Mereka mendedikasikan kemenangan itu buat peminat iaitu A.R.M.Y.

"Ini kali keenam untuk kami. A.R.M.Y kami yang sentiasa sayangi kami tanpa putus-putus, terima kasih tidak terhingga. Saya sedih tidak dapat bersua dengan anda hari ini.

"Tapi kami tahu kita akan bertemu sebagai satu kumpulan besar, betul? Sampai berjumpa lagi, jaga kesihatan dan saya harap anda berseronok menjalani hari-hari setiap saat. A.R.M.Y yang sangat berharga dan penyayang.

"Anda tahu saya sangat-sangat sayang anda, bukan? Kami tidak sabar bertemu anda lagi di masa hadapan. Terima kasih," katanya.

BTS menewaskan sembilan pemenang lain kategori Pilihan Peminat Sedunia termasuk TOMORROW X TOGETHER, ZEROBASEONE,  ENHYPEN, Lim Young Woong, ATEEZ, NCT DREAM, Stray Kids, SEVENTEEN, dan TWICE untuk trofi utama itu.

Kumpulan RIIZE dan ZEROBASEONE diumumkan pemenang Artis Baharu Kegemaran pada hari pertama MAMA2023 itu, manakala tiga lagi akan diumumkan esok.

Kategori Kumpulan Lelaki Asia Kegemaran pula dimenangi INI, Kumpulan Wanita Asia Kegemaran (Kep1er), Artis Antarabangsa Kegemaran (Yoshiki), dan Artis Galaxy New Flip (TREASURE)

Sementara, artis senior iaitu TVXQ dianugerahkan trofi Pencapaian Inspirasi.

Dihoskan penyanyi, Jeon Somi, antara yang membuat persembahan termasuk Lee Young Ji, Yoshiki, TOMORROW X TOGETHER, Jaehyun, Anton, Han Yu Jin, xikers, JO1, INI, Jeon Somi, Dynamicduo, ENHYPEN, dan TVXQ.

Penyampai trofi pula terdiri daripada antaranya Cha Seung Won, Ral Ral, Joo Hyun Young, Hwang Min Hyun, Kim So Hyun, Ahn Jae Hong, Dynamicduo, Lee Young Ji, Lee Jun Hyuk, Aoki Munetaka, dan Lee Jun Ho.

MAMA2023 akan diteruskan untuk hari kedua esok untuk baki kategori-kategori lain.

Ia turut disiarkan menerusi platform penstriman Tonton bermula jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 9:27 PM