RUBINA bersama anaknya, Joshua JL yang menghidapi Ventricular Septal Defect and Interrupted Aortic Arch memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
RUBINA bersama anaknya, Joshua JL yang menghidapi Ventricular Septal Defect and Interrupted Aortic Arch memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Bayi berusia dua bulan yang mempunyai masalah jantung dan saluran darah memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan sekali gus memberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan.

Joshua JL menghidap masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) dan saluran darah tidak normal (Interrupted Aortic Arch) memerlukan sumbangan RM50,000 untuk menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Ibunya, Rubinah Osman, 37, berkata penyakit bayi lelakinya dikesan selepas tiga hari dilahirkan apabila terdapat kelainan pada dada yang berlekuk, malah pernafasannya juga laju dan tidak normal.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu mempunyai masalah jantung dan saluran darah yang memerlukan pembedahan dilakukan segera.

"Anak memerlukan bantuan pernafasan dan jika pembedahan itu tidak dilakukan, maka ia memberi kesan kepada anak dan dia tak boleh bertahan lama.

"Sehingga kini kami belum pulang ke rumah sejak Joshua dilahirkan pada 18 Februari lalu kerana keadaannya memerlukan pemantauan dan bantuan oksigen, membuatkan saya sedih melihat keadaannya," katanya.

Katanya, lebih membuatkannya sedih apabila mereka tidak mampu menampung kos pembedahan anak kerana pendapatan suami, JL Alusun, 35, juga tidak besar, manakala dia pula tidak bekerja.

"Macam tak percaya apabila doktor mengesahkan penyakit anak kerana keluarga kami tiada sejarah penyakit itu. Tak sampai hati melihat keadaan anak yang memerlukan bantuan pernafasan, malah terfikir biarlah saya yang menggantikannya.

"Saya sangat berharap anak menjalani pembedahan itu dan dapat meneruskan kehidupan dengan baik bersama dua kakaknya yang selalu bertanya mengenai adik lelaki mereka serta sudah tidak sabar mahu bertemu buat kali pertama.

"Pembedahan itu akan membantu memberi peluang kedua untuk anak kami... jadi saya harap orang ramai sudi membantu," katanya yang menetap di Penampang, Sabah.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan itu layak mendapat pelepasan cukai.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 2:09 PM