Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Acara berprestij Anugerah Muzik Asia Mnet 2021 (MAMA 2021) bakal disiarkan secara langsung menerusi penstriman definisi tinggi (HD) di tonton, Sabtu ini bermula jam 3 petang.

Ketua Pegawai Operasi tonton, Amir Rasyidi Johari berkata, acara menghimpunkan nama-nama besar artis K-Pop itu semestinya paling ditunggu setiap tahun dan berbesar hati dapat menayangkannya secara langsung.

"Kami teruja kerana dapat menayangkan MAMA 2021 secara strim langsung di tonton. Kita tahu peminat K-Pop ramai di seluruh dunia dan mereka ingin tahu platform mana yang menayangkan acara berprestij ini secara langsung.

"Lebih menarik, tonton akan menayangkannya secara langsung di Malaysia selama tujuh jam tanpa henti. Ia bermula dari acara karpet merah sehinggalah anugerah selesai pada sebelah malam," katanya.

Menerusi strim langsung secara percuma yang disediakan tonton itu, penonton boleh menyaksikan artis berarak atas karpet merah selama dua jam iaitu dari jam 3 petang hingga 5 petang.

Ia diikuti acara utama anugerah bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

Penonton hanya perlu klik laman sesawang www.tonton.com.my/2021MAMA untuk melihat artis K-Pop pujaan mereka.

Tahun ini, acara terbabit bakal menampilkan penyanyi dan pelakon Lee Hyori sebagai hos utama. Namanya memang tidak perlu diperkenalkan lagi dan cukup berpengaruh dalam industri hiburan di Korea Selatan.

Kumpulan ITZY juga dikhabarkan bakal bergandingan dengan pelakon Squid Game, Heo Sung Tae menerusi sebuah persembahan.

Antara penyampai anugerah adalah Song Joong Ki, Gabee, Kwon Yool, Rain, Tiffany, Choi Siwon, Lee Sung Bin, HaHa, Han Ye Ri, Monika, Kim Seo Hyung, Kim Young Dae dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 12:33 PM