PERSEMBAHAN STRAY KIDS antara paling dinantikan.
PERSEMBAHAN STRAY KIDS antara paling dinantikan.
Georgie Joseph

MENJADI acara pengiktirafan paling dinanti di dunia, Mnet Asian Music Awards (MAMA) bakal kembali dilangsungkan secara maya pada Ahad ini. Tentu sekali, pencinta muzik K-Pop tidak mahu melepaskan peluang menonton artis-artis kegemaran mereka.

Yang pasti, ia masih dianjurkan secara meriah meskipun cuma artis terbabit sahaja akan hadir tanpa penonton. Menampilkan pengacara Song Joong Ki, kemunculan aktor itu juga pasti antara dinantikan.

Bagaimanapun, selain nama besar seperti BTS, GOT7, IZ*ONE, MAMAMOO, MONSTA X, NCT, SEVENTEEN, TOMORROW X TOGETHER, TREASURE dan TWICE tampil buat persembahan, ia bakal dihangatkan dengan beberapa artis meningkat naik.

Tidak dinafikan, MAMA sentiasa mencetuskan keterujaan ramai untuk menontonnya dengan senarai penghibur yang hebat. Mencantumkan kumpulan lelaki dan wanita serta pendatang baharu, itulah menjadi kelebihan acara ini setiap tahun.

Untuk tahun ini, OH MY GIRL antara pendatang baharu yang bakal beraksi. Kumpulan itu berjaya meledak menerusi lagu Nonstop yang begitu cemerlang dalam carta-carta muzik dengan konsep musim panas.

Bulan ini menjadi bulan paling sibuk buat THE BOYZ juga, apabila menyambut ulang tahun ketiga penubuhan mereka. Kumpulan itu bakal melancarkan lagu Krismas berjudul Christmassy di samping tampil pada acara itu nanti.

STRAY KIDS yang baru-baru ini mendapat pengiktirafan di 2020 Asia Artist Awards juga tidak ketinggalan menghiburkan penonton. Cukup menawan dengan corak muzik yang sangat kreatif, kumpulan itu menjadi antara paling dinantikan.

Kumpulan (G)I-DLE yang menjadi kumpulan wanita paling fenomena sekarang dijangka bakal meledakkan pentas dengan persembahan bertenaga mereka. Bukan sekadar penuh karisma, kemahiran menakluk pentas kumpulan itu sememangnya bukan calang-calang.

Demikian juga kumpulan ATEEZ bakal kembali beraksi sekali lagi di pentas berpestij itu. Selepas meninggalkan impak pada persembahan tahun lalu, penonton pastinya mahu melihat lagi aksi mereka yang mampu membuatkan ramai ternganga.

Tidak terkecuali kumpulan semakin mencipta nama, CRAVITY. Kian meraih perhatian peminat seluruh dunia, ini adalah kemunculan pertama mereka beraksi di acara anugerah. Rata-rata pengikut mereka sudah tidak sabar melihat aksi sulung kumpulan itu.

ENHPYEN pula memberi kejutan kepada peminat mereka, apabila bakal menyertai barisan penghibur di pentas MAMA tahun ini pada tarikh sama mereka diperkenalkan. Ditubuhkan daripada rancangan I-LAND, ini masa untuk mereka tonjolkan identiti serta corak muzik kepada dunia.

Bagi peminat di Malaysia, siaran langsung MAMA 2020 bakal ditayangkan menerusi platform muzik JOOX bermula jam 5 petang pada Ahad ini. Ini adalah tahun kelima berturut-turut ia ditayangkan di platform terbabit.

Penyiarannya pasti memberikan pengalaman berbeza kali ini kerana peningkatan penggunaan teknologi AI yang lebih canggih dan juga terdapat terjemahan sari kata secara serentak di JOOX dibawakan teknologi terbabit.

Ia bagi memastikan peminat tidak terlambat menonton babak serta persembahan paling penting artis K-Pop kegemaran mereka. Selain itu, penonton juga dapat menikmati anugerah berprestij itu tanpa halangan bahasa.

Tahun ini menyaksikan berlaku peningkatan memberangsangkan daripada jumlah undian peminat seluruh dunia dan melebihi undian sebelumnya untuk acara itu. Tempoh pengundian masih berlangsung sehingga 5 Disember ini.

Paling dinantikan, pastinya siapa bakal membawa pulang trofi keramat Artis Terbaik Tahun 2020 serta Anugerah Pilihan Peminat Seluruh Dunia. Begitu juga bagi kategori utama Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:15 AM