Kugiran Masdo pada sidang media dan pelancaran Royal Alloy Youth Edition. FOTO Genes Gulitah
Kugiran Masdo pada sidang media dan pelancaran Royal Alloy Youth Edition. FOTO Genes Gulitah
Minda Ranggong


Kuala Lumpur: Kugiran Masdo menjadi band pertama di Malaysia berkolaborasi dengan syarikat motosikal jenama skuter popular dari United Kingdom, Royal Alloy.

Pemilihan Masdo bukan sahaja berdasarkan bakat dan muzik berkualiti, malah imej retro yang diperkenalkan membuatkan jenama mereka cukup kuat.

Masdo yang dianggotai oleh Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi menyifatkan kolaborasi dengan jenama jentera skuter tersohor itu adalah satu pengiktirafan buat mereka sejak terbabit dengan dunia seni bermula pada tahun 2015.

"Menerima lamaran Royal Alloy Malaysia untuk projek atau kolaborasi ini ibarat bulan jatuh ke riba dan membuat Masdo mahu terus 'Bercanda Di Malam Yang Indah.

"Ia adalah satu penghormatan buat Masdo menjalin kerjasama dengan jenama yang sudah dikenali sejak berdekad lamanya. Kami berharap kolaborasi ini mencapai matlamat seperti yang diinginkan.

"Mari kita menikmati hidup dalam aroma retro tetapi moden sama seperti Royal Alloy dan Masdo," kata Ali Sariah.

Melihat kepada kemampuan Masdo yang berjaya melebarkan sayap mengharumkan karier seni mereka ke seluruh Nusantara, Pengerusi Mofaz Motosikal Sdn Bhd (MOMOS), Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, ia adalah satu contoh kerjasama mantap dan bergaya.

"Kolaborasi dengan band muzik yang berbakat besar, popular dan cukup diminati bukan hanya di Malaysia tetapi sehingga Indonesia adalah bagai satu kejayaan.

"Pemilihan Kugiran Masdo sebagai 'iklan bergerak' kami adalah selaras dengan jentera skuter yang bergaya klasik tetapi berteknologi moden sementara Masdo pula adalah pemuzik generasi moden tetapi membangkitkan keghairahan terhadap karya-karya bernuansa retro," katanya.

Kolaborasi ini dapat menjadi tarikan di antara retro dan moden yang menambah gaya kehidupan masa kini dan tentu sekali bakal menjadi nostalgia yang tidak akan mati. Royal Alloy dan Masdo melancarkan skuter edisi terhad yang diberi nama 'Dinda', hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 4:32 PM