NOH Salleh kehadiran dinantikan penonton.
NOH Salleh kehadiran dinantikan penonton.
Ramlah Zainal

PERSEMBAHAN mantap barisan artis popular tanah air seperti Noh Salleh, Kugiran Masdo dan Kumpulan Imsomniacks sempena Konsert Fenix360 Live! Malaysia berjaya menarik lebih 1,200 penonton di Jiospace, Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.

Menurut vokalis Kugiran Masdo, Ali Sariah, meskipun agenda seni mereka padat sejak awal tahun, kumpulan itu tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk menjayakan konsert berkenaan.

Katanya, ia adalah konsert kedua mereka selepas persembahan sempena sambutan Tahun Baru bersama penyanyi Aisyah Aziz di Johor Bahru, sebelum ini.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dengan sambutan dari ramai peminat yang hadir untuk memberi sokongan pada konsert ini.

"Kami juga buat sehabis baik dan konsert ini juga buat peminat melihat kami beraksi secara langsung di pentas," katanya.

Selain Ali Sariah, kumpulan itu dianggotai Putuceri (pemain bass) dan Asmawi (gitar).

Turut mengiringi persembahan mereka pada malam itu ialah Cakam (keyboard) dan Eja (dram).

Kugiran Masdo menyampaikan enam lagu hits mereka antaranya Malam Pesta RNR, Janji Manis, Miss Flower Learns TO Twist, Inilah JalanNya, Dinda Dan Bercanda Di Malam Indah.

KUGIRAN Masdo bersyukur dengan sambutan penonton.
KUGIRAN Masdo bersyukur dengan sambutan penonton.

Ditanya perkembangan karier seni pula, kata Ali Sariah lagi, selepas Indonesia dan Jepun, mereka juga terbabit dengan persembahan di London dan Manchester pada penghujung bulan ini.

Kumpulan Imsomniacks pula menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Langgar, Here Again, Reminisensi, Igauan Malam, Sempurna dan Pulang.

Kemunculan penyanyi Noh Salleh pastinya dinantikan penonton yang sudah menunggu sejak awal lagi.

Noh yang membuat persembahan solo secara akustik menerusi rangkaian lagu hits seperti Sang Penikam, Renjana, Kotak Hay, Dugaannya, Dikala Rembulan Bermain Biola, Bunga Di Telinga dan Aku Skandal.

Sambil memetik gitar, Noh turut meminta penonton untuk bangun dan sama-sama menyanyi serta menari dengannya sekali gus menghangatkan lagi persembahannya pada malam itu.

Konsert turut dimeriahkan dengan kehadiran band indie berbakat antaranya InMYO (Jemson), Leaism, The Frankie Sixes serta penampilan DJ Jemput Dengar.

Tidak ketinggalan, Frankie Sixes menghiburkan peminat dengan menyampaikan rangkaian lapan lagu mereka selain kumpulan Leaism.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 6:15 AM