MASDO dapat pengiktirafan Royal Alloy. FOTO Genes Gulitah
MASDO dapat pengiktirafan Royal Alloy. FOTO Genes Gulitah
Minda Ranggong


TIDAK meletak syarat tertentu, sebaliknya Kugiran Masdo lebih mengutamakan keserasian jika diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi lain.

Buktinya Kugiran Masdo yang mempunyai identiti tersendiri menunjukkan perkembangan positif daripada beberapa projek kerjasama dijalankan sebelum ini.

Selepas mengungguli carta dalam Spotify Malaysia melalui lagu Pujaanku dengan puluhan ribu penstriman setiap hari, Kugiran Masdo terus melakar nama dalam industri muzik tanah air.

Masdo dianggotai Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi meluah rasa syukur apabila lagu Pujaanku iaitu kolaborasi bersama Aisyah Aziz mendapat tempat di hati peminat.

"Alhamdulillah, sambutan lagu Pujaanku luar biasa sampai boleh dapat nombor satu lagu Melayu paling banyak distrim dalam carta Spotify Malaysia. Setiap hari distrim 40,000 kali dan ke atas. Lagu itu ada magisnya," kata Ali Sariah selaku vokalis utama kumpulan yang cukup dikenali dengan irama retro itu.

Ali Sariah ketika ditemui baru-baru ini pada majlis pelancaran Royal Alloy X Masdo berkata, dia percaya setiap artis ada impian, kekuatan dan tarikan tersendiri.

"Kami masing-masing ada pelbagai idea dan impian. Cuma secara peribadi, kami rasa seronok jika tampil dengan penyanyi lain. Macam Ali pun nak tampil dengan artis lain. Kami cuba cari titik tengah yang sesuai.

"Kami terbuka dengan artis yang nak berkolaborasi bersama. Tetapi, tak boleh nak rawak sangat memilih penyanyi, kena sesuai dengan Masdo juga. Kalau dengan Aisyah, kami tahu dia ada suara klasik dengan lagu itu sendiri. Sesuai dengan gaya klasik dan retro kami," kata Putu.

Disoal bagaimana setiap lagu dihasilkan Masdo sentiasa mendapat tempat dalam hati pendengar, Ali berkata, mereka lebih mengutamakan elemen rasa dalam menghasilkan lagu.

MASDO bakal menjayakan persembahan di negara
MASDO bakal menjayakan persembahan di negara

"Ramuan tidak ada. Kami tidak meletak jangkaan terhadap lagu dikeluarkan. Kalau buat macam ini, akan jadi macam ini. Kalau buat macam itu, akan jadi macam itu. Ia lebih kepada rasa seorang penulis lirik dan komposer. Dia akan 'hit' dahulu sebelum dia 'hit' orang lain sama ada dari segi lirik ataupun melodi lagu terbabit.

"Contohnya, pendengar tersentuh hati kalau mendengar lagu Pujaanku lebih-lebih lagi kepada mereka sedang bercinta. Pujaanku mengungkapkan perasaan yang dalam dan tulus terhadap pujaannya. Lagu ini mengekspresikan cinta, penghormatan, dan kesetiaan yang abadi.

"Lagu Dinda saya tidak tahu di mana magisnya sampai viral di Malaysia, Indonesia dan Singapura serta paling banyak distrim di seluruh negara. Ia adalah satu fasa yang tidak habis,"

katanya.

Menurut Putu, keikhlasan dan kepuasan dalam menghasilkan sesebuah lagu dapat membuahkan hasil yang baik.

"Karya kami dibuat dari hati yang jujur. Kalau kami rasa selesa dan puas hati dengan lagu tu, baru kami keluarkan. Kalau kami ikut kehendak orang luar, mungkin kami tidak dapat hasil yang memuaskan," katanya.

Kugiran Masdo akan terus melebarkan sayapnya di luar negara. Mereka mengadakan siri persembahan bersama band Sekumpulan Orang Gila (SOG) di negara matahari terbit pada November ini.

Putu turut meluahkan rasa syukur kerana penganjur beri peluang kepada Masdo mengadakan persembahan di luar negara.

"Terima kasih kepada penganjur Jepun yang menempatkan kami dalam senarai persembahan di sana. Jepun antara impian dan kami bebesar hati kerana diberi peluang ini.

"Insya-Allah kami ke Jepun dalam 15 atau 16 November ini. Disebabkan ada kekangan masa, kami hanya membuat tiga persembahan di sana kerana perlu balik awal ke Malaysia.

"Membuat persembahan di luar Malaysia sesuatu perkara yang sangat bagus. Kami boleh belajar 'music scene'dihasilkan negara lain kerana 'music scene' negara kita berbeza.

"Jadi, ia satu input yang akan kami peroleh dan boleh dibawa balik ke Malaysia untuk dikongsi bersama rakan lain di sini," kata Putu yang memaklumkan Masdo dalam perancangan mengeluarkan album baharu sempena ulang tahun ke-10 kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 6:13 AM