BANGGA dipilih jayakan persembahan konsert akustik sempena keraian 25 tahun penubuhan DFP.
BANGGA dipilih jayakan persembahan konsert akustik sempena keraian 25 tahun penubuhan DFP.
Nurul Sabrina Jamali


SEBUT sahaja nama Kugiran Masdo, sememangnya terngiang-ngiang alunan muzik retro era 1960an yang diinspirasikan daripada lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Ditubuhkan sejak 2015, kugiran yang dianggotai Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) ini berjaya memecahkan stereotaip industri muzik tempatan.

Memilih mengekalkan imej dan muzik pop klasik era 1960an, Masdo mengakui membesar dengan mendengar lagu era itu, mereka ingin membawa sesuatu kelainan kepada industri tempatan.

Meskipun muzik pop era 1960an semakin hari kian tenggelam, tetapi Masdo berjaya mengetengahkan lagu berasaskan genre itu dan digubah mengikut cita rasa masa ini.

Lantaran itu, kesempatan diberikan bagi menjayakan konsert istimewa di pentas berprestij seperti Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 22 Julai depan pasti dinanti-nantikan mereka.

Ali Sariah, berkata, persembahan di DFP pastinya mencatat satu sejarah dalam profil seni Masdo apabila dipilih bagi mempersembahkan sebuah konsert akustik sempena keraian 25 tahun penubuhan DFP.

"Kami sangat bersyukur kerana pertama kali diberi peluang keemasan ini untuk membuat persembahan di DFP yang berprestij ini dan luar biasa.

"Dalam masa sama, kami juga tidak sabar untuk menunjukkan Masdo di sisi berbeza. Kami akan bawakan peminat menghayati lagu hit kami dalam gubahan simfoni dan akustika," katanya pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini.

Tambahnya, ia umpama mimpi jadi kenyataan apabila ditawarkan membuat persembahan di pentas serba canggih itu.

"Ini kerana kami tahu, dewan ini sangat luar biasa dan kami pula hanya kugiran yang baharu berjinak di dunia seni tanah air.

"Selalunya kami hanya melihat band ternama, artis antarabangsa dan penyanyi ikonik yang membuat persembahan di situ, jadi kami dapat menjejakkan kaki di DFP pun sudah cukup bersyukur," kata Ali Sariah yang memaklumkan akan menjayakan persembahan selama satu jam 30 minit dan bakal dipenuhi dengan menyampaikan 15 lagu popular mereka pada konsert itu nanti.

Tambahnya, persembahan akan diiringi 15 pemuzik handalan yang menjadi instrumen terpenting dalam menjayakan konsert mereka itu.

Bagi pemain bass, Putu Ceri pula, persembahan itu menjadi peluang buat peminat menikmati muzik secara santai dan dibantu sistem bunyi yang terbaik berbanding konsert mereka yang sebelum ini yang cukup dikenali dengan unsur 'loud' (bising).

"Rugi jika kami mempersembahkan muzik dengan gaya sama. Di sini peminat berpeluang bersantai sambil menikmati lagu kami.

"Kami sudah membuat persiapan, ini kerana kami tidak mahu persembahan itu kelihatan seperti 'rushing' dan perkara yang paling dirisaukan adalah takut 'pancit awal'," katanya yang sudah melakukan persediaan yang terbaik menjelang konsert itu

KUGIRAN Masdo dianggotai (dari kiri) Asmawi (gitaris), Putu Ceri (bass) dan Ali Sariah (vokalis).
KUGIRAN Masdo dianggotai (dari kiri) Asmawi (gitaris), Putu Ceri (bass) dan Ali Sariah (vokalis).

Masdo melebarkan sayap

Meskipun masih baharu dalam dunia seni tanah air, tetapi Masdo sudah melebarkan sayapnya ke Singapura melalui konsert di The Esplanade dan The Star Theatre tahun lalu.

Atas permintaan yang menggalakkan dari peminat di negara Republik itu, pihak penganjur menunaikan hasrat mereka untuk membuat konsert di tempat lebih besar bagi acara Pesta Muda Mudi.

Persembahan itu juga adalah penampilan Masdo yang keempat di Singapura dan konsert 'sold-out' masing-masing mencatat 1,800 dan 3,500 penonton yang hadir.

Malah, kemampuan Masdo turut terserlah apabila pernah menawan tiga kota Indonesia melalui siri konsert jelajah ke Bandung, Bekasi dan Jakarta bagi memenuhi permintaan peminat di negara jiran.

Melalui pengalaman itu, Ali Sariah berkata, bukan mudah hendak menembusi pasaran muzik Indonesia, jadi kami sangat bersyukur ibarat sinar selepas pandemik Covid-19.

"Seramai 800 penonton turut hadir memeriahkan konsert Masdo dan detik 'sing along' membuatkan kami teruja kerana begitu ramai menghafal lagu hit kami.

"Meskipun pentas persembahan kecil, aura menghiburkan penonton terasa lain dan mungkin juga mereka adalah peminat dari negara jiran," katanya.

Masdo seterusnya melahirkan album kedua berjudul Jalan Abbey dan menariknya, rakaman album itu dijalankan di studio tersohor Abbey Road Studios di London.

Lebih mengujakan apabila album ini mengandungi lagu hit seperti Nearly Near You, Dewi Puspanita, Janji Manis dan Kasih Dan Sayang.

Menurut Putu Ceri mereka menimba pengalaman ketika mengadakan konsert di negara jiran itu sebagai rujukan untuk membuat persembahan di DFP.

"Alhamdulillah, pengalaman beberapa konsert di sana masih memberi aura tersendiri dan kami harap ia masih ada dalam sanubari kami," katanya yang memaklumkan jika tiada aral mereka akan tampil dengan album ketiga tahun depan.

Terdahulu, Masdo pernah mengeluarkan album berjudul Selamat Tinggal Pujaan (2017) dan Jalan Abbey (2020) menjadi tular di media sosial terutama di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 6:30 AM