KUGIRAN Masdo akan berada di China dari 25 hingga 31 Oktober untuk mewakili Malaysia dan membuat persembahan di acara Festival Chongqing. FOTO Aziah Azmee.
KUGIRAN Masdo akan berada di China dari 25 hingga 31 Oktober untuk mewakili Malaysia dan membuat persembahan di acara Festival Chongqing. FOTO Aziah Azmee.
Syafil Syazwan Jefri


KUGIRAN Masdo tidak pernah menyangka jualan album fizikal mereka yang hanya dijual di setiap lokasi acara persembahan mereka, kini mencecah lebih 9,000 unit.

Album Selamat Tinggal Pujaan yang mula dijual sejak 11 bulan lalu itu kini diulang cetak atas permintaan peminat.

“Kami tak pernah menjangkakan sambutan daripada peminat sehebat ini. Sekarang, kami sudah mengulang cetakan ke 9,000 unit.

“Lagi pula, dalam zaman moden dan muzik lebih terarah kepada bentuk digital seperti hari ini, kami terkejut kerana masih ramai yang inginkan album fizikal,” kata vokalisnya, Ali Sariah kepada Harian Metro.

Selain kejutan sambutan menggalakkan kepada album, Kugiran Masdo yang turut dianggotai Putu Ceri (bass), Ambobzeela (dram) dan Mawi (gitaris) itu akan terbang ke China pada 25 Oktober ini.

“Kami akan berada di China dari 25 hingga 31 Oktober untuk mewakili Malaysia dan membuat persembahan di acara Festival Chongqing.

“Ia adalah festival tahunan berkaitan muzik di negara itu dan mengumpulkan ramai anak seni terutama band dari pelbagai negara,” kata Putu Ceri.

Selain Kugiran Masdo, satu lagi band yang dikenali sebagai Nadir akan turut mewakili Malaysia untuk membuat persembahan.

Pada 3 November depan, Kugiran Masdo akan tampil di acara Freedom Festival dan berkongsi pentas dengan beberapa nama besar lain antaranya Datuk Zainal Abidin, Yuna, Hujan, Resh dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:23 PM