KUGIRAN Masdo
KUGIRAN Masdo
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Kumpulan Kugiran Masdo terharu dan tidak sangka lagu Dinda yang diterbitkan pada 2019 tiba-tiba meledak di TikTok selain tersenarai dalam lagu paling tular di Spotify Indonesia.

Penyanyinya, Ali Sariah berkata, ia sekali gus membuatkan nama Kugiran Masdo menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat di Indonesia gara-gara lagu itu kerap digunakan di platform video sosial terbabit.

"Memang kami tidak sangka. Sebenarnya sebelum Dinda mula tular, kami perasaan ada orang di sana gunakan lagu Janji Manis dalam album kedua kami iaitu Jalan Abbey.

"Ada orang Indonesia ingat Dinda itu nama orang hingga dimarahinya orang yang bernama Dinda supaya jangan marah-marah lagi," katanya.

Ali berkata, mereka sangat bersyukur apabila karya Kugiran Masdo berjaya menambat peminat Indonesia dengan cara tidak dijangka.

Sehubungan itu, mereka terfikir untuk tampil dengan projek istimewa sebagai penghargaan kepada sambutan luar biasa yang diterima itu.

"Sejujurnya, komen paling menyentuh buat kami adalah apabila rakyat Malaysia tumpang gembira lagu Kugiran Masdo berjaya memikat hati orang Indonesia.

"Ramai peminat Indonesia juga meminta kami ke sana tapi sekarang boleh dibenarkan lagi, jadi tahan diri dululah. Ada juga hasrat tampil projek khas penghargaan terutama buat peminat di sana, tapi masih dalam perancangan," katanya.

Selain Ali, Kugiran Masdo turut dianggotai Putu Ceri sebagai pemain bass, Am (dram), Asmawi (gitar utama), dan Chakam (keyboard).

Ketika ini, lagu Dinda yang turut bertanding di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) semakin menjadi kegilaan di Indonesia. Ia digunakan secara luar biasa untuk video di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 3:36 PM