KEMENANGAN Selangor ditujukan khas kepada Faisal. FOTO Ihsan Selangor FC
KEMENANGAN Selangor ditujukan khas kepada Faisal. FOTO Ihsan Selangor FC
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Semangat tonggak Selangor FC, Faisal Halim meresap di sanubari pemain skuad Gergasi Merah apabila pasukan terbabit mencatatkan kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, sebentar tadi.

Dihadiri kira-kira 10,000 penyokong tuan rumah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Selangor FC yang bermula agak longlai namun mempamerkan aksi bertenaga pada saat akhir perlawanan.

Lebih membanggakan lagi gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain gantian berjersi 77 Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, nombor hampir sama dipakai Faisal iaitu tujuh.

Malah, gol dijaringkan Aliff pada minit 85 itu juga diraikan dengan gaya 'siu' sebagai tanda memperingati Faisal yang kini dirawat di hospital akibat disimbah asid, baru-baru ini.

Pada perlawanan itu, menyaksikan barisan anak buah Nidzam Jamil terlebih dahulu menguji gawang KDA FC menerusi pemain mudanya Mukhairi Ajmal Mahadi seawal minit keempat namun rembatannya tepat ke penjaga gol lawan.

Tumpuan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan sedikit 'terganggu' apabila penyokong bola sepak yang hadir ke stadium MBPJ secara tiba-tiba berdiri dan tepuk tangan pada minit ketujuh untuk memberi penghormatan dan tanda soladiriti kepada Faisal.

Skuad Gergasi Merah sekali lagi berpeluang berada di hadapan pada minit kelapan namun rembatan Noor Al-Deen Mahmoud Alo Al Rawabdeh lemah sekali gus menyelamatkan gawang KDA FC daripada dibolosi.

Walaupun terdapat beberapa percubaan ke kubu lawan namun kedudukan 0-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Memasuki babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperkemaskan corak permainan dengan sering melakukan serangan merbahaya ke kubu lawan.

KDA FC yang dipimpin Nafuzi Zain kerap kali menguji benteng lawan dan hampir membuka jaringan pada minit 50 namun hantaran dari Ariff Farhan Md Isa gagal disempurnakan Syafiq Ahmad.

Selangor FC melakukan sekurang-kurangnya empat tukaran pada separuh masa kedua namun kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:34 PM