Zizan Razak
Zizan Razak
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak terkenal Zizan Razak tidak pernah menolak tawaran untuk bergandingan dengan Mira Filzah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Zizan berkata, dia sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Mira.

"Tidak benar dakwaan itu. Saya langsung tidak pernah meletakkan sebarang syarat untuk bekerja dengan sesiapa pun selagi gandingan itu dirasakan yang terbaik. Tapi jika saya tidak selesa dengan seseorang itu, mungkin ada syarat yang saya letakkan.

"Misalnya, sesetengah pelakon itu ada buat perangai di set penggambaran, sudah tentu saya tak berminat untuk bekerjasama dengannya," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama Super Wira, semalam.

Menurut Zizan, dia tidak tahu bagaimana khabar angin yang mengatakan dia enggan bekerjasama dengan Mira boleh timbul.

"Mungkin kami sudah lama tidak bekerjasama membuatkan orang beranggapan sedemikian.

"Rasanya kali terakhir kami bergandingan adalah menerusi drama bersiri Jula Juli Bintang Cinta sekitar tahun 2017," katanya.

Zizan berkata, dia terbuka untuk kembali bekerjasama dengan Mira kerana hubungan mereka masih baik sebagai kawan.

"Saya okay sahaja, tiada masalah untuk bekerjasama dengan Mira. Lagipun atas urusan kerja. Apa yang saya buat dalam industri ini semua untuk peminat saya. Kalau orang suka saya akan buat.

"Macam drama Super Wira ini, saya baru tahu Mira berlakon sekali dalam cerita ini selepas saya membaca skrip di set penggambaran.

"Tapi saya tidak berjumpa dengan dia sebab babak kami berlainan," katanya.

Sebelum ini Zizan dan Mira pernah dikaitkan menjalin hubungan cinta selama tiga tahun.

Bagaimanapun Mira kini sudah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 2:02 PM