Zizan pitam ketika di lokasi Polis Evo 2. FOTO Arkib NSTP.
Zizan pitam ketika di lokasi Polis Evo 2. FOTO Arkib NSTP.
Najiy Jefri


Pelakon dan pelawak, Zizan Razak berdepan detik cemas apabila pitam ketika menjalani penggambaran filem terbaharunya, Polis Evo 2 di Jerantut, Pahang, semalam.

Zizan tidak mengalami kecederaan serius, hanya kejang otot kaki ketika melakonkan babak aksi sebelum rebah dan diberi bantuan.

Katanya, mungkin terlalu penat apabila melakukan beberapa babak aksi ditambah keadaan cuaca panas membuatkan pandangannya kabur sebelum pitam.

“Saya tidak ingat suasana yang berlaku, sedar saja saya sudah terbaring. Alhamdulillah tiada luka cuma sedikit lebam dan sengal pada badan akibat jatuh,” katanya.

Zizan akui tidak mengambil berat soal kesihatan apabila memberi komitmen tinggi untuk pembikinan Polis Evo 2 arahan Ghaz Abu Bakar.

“Apa yang berlaku kesilapan sendiri yang terlalu kuat bekerja hingga sangat letih. Komitmen saya pada filem ini memang tinggi kerana peminat mahu melihat aksi berbeza dari filem sebelumnya, hingga saya terlupa kesihatan sendiri.

"Jangan bimbang saya baik-baik sahaja. Pihak produksi juga meminta saya berehat dahulu dan kembali ke lokasi mungkin dalam masa dua atau tiga hari," katanya.

Zizan juga pelakon Abang Long Fadil 2, memuat naik gambar dia terbaring dan diberi bantuan pernafasan di laman Instagramnya.

Menerusi kapsyen gambar terbabit, Zizan meminta peminat menghargai kerja keras dan komitmen diberikan pelakon dan tidak membeli hasil kerja cetak rompak.

“Nasihat saya, janganlah curi-curi rakam karya seni tempatan atau membeli cetak rompak kerana kami bekerja dengan ikhlas mencari rezeki. Doakan saya cepat sembuh daripada kecederaan ini,” tulisnya.

Polis Evo 2 turut dibintangi Shaheizy Sam dan pelakon Indonesia, Raline Shah. Ia dijangka ditayangkan di pawagam awal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:32 PM