BELL Ngasri. FOTO Arkib NSTP
BELL Ngasri. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Bell Ngasri, 43, melahirkan perasaan bangga dan bersyukur dengan pencapaian adiknya, Datin Anne, 39,  yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GiatMARA, baru-baru ini. 

Bagaimanapun dalam masa sama, Bell menasihatkan Anne kuat semangat berdepan kecaman segelintir pihak yang tidak berpuashati dengan pelantikannya dan menjadikan ia cabaran untuk bergelar individu lebih hebat pada masa akan datang.

"Saya tak rasa sedih kerana itu adalah lumrah, malah orang ramai boleh memberikan apa sahaja pendapat di media sosial. 

"Harapnya Anne anggap perkara ini satu cabaran untuk dirinya menjadi orang lebih baik dan mampu untuk terus berjaya di masa akan datang.

"Kalau orang hanya suka dan tidak mengkritik tak guna juga. Hidup kita pula akan membosankan," katanya ditemui pada sesi tayangan ekslusif filem terbaharu lakonannya berjudul Geng Sakau VS Hantu Ting Tong di Dadi Cinema Pavillion di sini, semalam.

Bell atau Nasrizal Ngasri berkata, segala ujian ini akan membakar semangat adiknya untuk membuktikan dirinya layak bergelar Timbalan Pengerusi GiatMARA. 

"Bidang lakonan pun begitu juga, kalau hari ini saya berlakon tak semestinya terus jadi 'hero'. Kebiasaannya mesti akan bermula dengan menjadi pelakon tambahan selepas itu baru boleh naik. 

"Saya dalam bidang ini sudah lebih 30 tahun dan pelbagai kecaman diterima. Jadi, sepatutnya Anne yang masih baharu dalam bidang itu jangan mudah jatuh atau kecewa. 

"Saya tidak pernah memarahi netizen dan berharap Anne dapat melakukan perkara sama. Saya berterima kasih kerana mungkin apa yang mereka cakap itu boleh berikan cabaran kepada Anne untuk menjadi lebih baik," katanya. 

Penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini secara bergurau menambah, dengan kesabaran yang ada, mungkin suatu masa nanti adiknya boleh menjadi Timbalan Menteri atau Menteri. 

"Apapun alhamdulillah itu adalah rezeki Anne untuk dapat apa yang dia mahukan. Memang dia pelakon, tapi tak semestinya perlu fokus kepada bidang itu sahaja. 

"Ada orang yang berlakon, tapi minat bidang jadi pengarahan atau perniagaan. Adik saya Darling ada syarikat produksi. 

"Manakala Anne ada matlamat lain selain berlakon dan ada rezeki dia untuk berjaya dalam bidang diceburi," katanya.

Terdahulu, Anne yang juga Exco Wanita UMNO berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Instagram (IG).

Dia turut berkongsi momen memberikan skrol kepada barisan graduan institusi pada Majlis Konvokesyen Graduasi GiatMARA Ke-36 Zon Pantai Timur 2023.

Pelantikan ini bagaimanapun menimbulkan polemik dan menjadi topik perbahasan netizen di media sosial.

Mereka tanpa berselindung mempertikaikan kredibiliti pelakon drama bersiri Cili Padi itu untuk memegang jawatan berkenaan seterusnya mengemudi GiatMARA pada sesi kali ini. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 9:30 AM