WATAK Barkoba atau geng plastik hitam dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang. - FOTO Google
WATAK Barkoba atau geng plastik hitam dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang. - FOTO Google
Norhayati Nordin


DENGAN bersandarkan bakat dan tanpa sebarang kisah sensasi, pelakon, Bell Ngasri berjaya membuktikan dia boleh diterima baik peminat dan penonton menerusi drama dibintanginya.

Kini berusia 41 tahun, Bell yang memulakan kerjaya lakonan sejak kanak-kanak bukan sekadar berlakon filem, drama dam menjayakan program TV, tetapi banyak menyumbangkan suara untuk iklan komersial.

Apapun, bakat diwarisi daripada ibu bapanya yang turut dimiliki adik-beradik lain seperti Darling Ngasri, Datin Anne Ngasri dan Naszeli Ngasri membuatkan nama keluarga bekas penyampai radio RTM, Ngasri Sain cukup dikenali ramai.

Berbicara mengenai dirinya yang mampu bertahan dalam bidang lakonan dan tetap laris, Bell berkata, dia cuba melakukan yang terbaik dalam urusan kerjanya, tetapi tidak menyangka ia sangat disukai penonton.

"Saya tak ada apa-apa rahsia kejayaan. Bagi saya, ini rezeki dan nasib. Apatah lagi dalam karier lakonan ini selagi orang terima dan nak tengok, saya buat saja. Bagaimanapun, saya pastikan setiap kerja dibuat itu ikhlas.

"Saya juga suka berbincang dengan pengarah. Contohnya untuk watak Barkoba atau geng plastik hitam dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang, saya banyak dibantu pengarah, Mamat Khalid," katanya.

Mengulas soal tular yang dikaitkan dengannya tanpa kontroversi, Bell berkata, dia sendiri tidak menduga betapa kebanyakan aksinya dalam Parodi MeleTop juga menjadi perhatian dan tarikan penonton hingga tersebar meluas di media sosial.

TIDAK menduga betapa kebanyakan aksinya jadi perhatian dan tarikan penonton.
TIDAK menduga betapa kebanyakan aksinya jadi perhatian dan tarikan penonton.

BARKOBA tular, Bell tak sangka watak itu cukup diminati ramai. - FOTO Google
BARKOBA tular, Bell tak sangka watak itu cukup diminati ramai. - FOTO Google

"Saya hanya mampu bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada penonton yang suka dan terus menyokong lakonan saya. Alhamdulillah, ini rezeki dan nasib baik saya.

"Selain itu, kepada pengarah, pihak produksi dan stesen TV yang mahu bekerjasama dengan saya menerusi tawaran diberikan. Saya hanya berusaha melakukan tanggungjawab kerja saya dengan baik," katanya.

Terdahulu, pada 15 April lalu, filem 18 Puasa Di Kampong Pisang ditayangkan di Astro First. Hingga kini, filem komedi yang sarat mesej pengajaran itu mencatat kutipan RM2 juta.

Malah, di media sosial pula watak Barkoba menjadi perbahasan hangat netizen kerana sikapnya yang tak berpuasa di bulan Ramadan. Bahkan, ada beberapa dialog Barkoba yang disukai penonton.

Antaranya, sudah tentu dialog seperti 'keluarga saya suka makan makanan sejuk-sejuk, tak suka makanan panas, rukun Islam ketiga, kesopanan dan kesusilaan serta 'yak yak yea'.

Apapun, Bell mengharapkan penonton dapat mengambil segala mesej pengajaran dimuatkan dalam filem itu di mana yang baik diikut dan sebaliknya jadikan sempadan.

Bell juga membawakan watak sama dalam drama 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Mamat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 6:50 AM