Pelakon Hikayat Pak Belalang, Belle Ngasri ketika sidang media Home of Kids di Dadi Cinemas, Pavillion Bukit Bintang. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon Hikayat Pak Belalang, Belle Ngasri ketika sidang media Home of Kids di Dadi Cinemas, Pavillion Bukit Bintang. FOTO AZIAH AZMEE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Bell Ngasri, 43, takkan marah sekiranya ada pendatang baru dalam bidang seni yang menunjukkan sikap 'besar kepala' atau tidak menegurnya.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri berkata, mereka mungkin masih cetek ilmu mengenai budaya kerja dalam industri dan perlu diberi ruang untuk sesuaikan diri.

"Mereka (pelakon baharu) baru saja masuk dalam bidang lakonan ini, jadi mereka kadang-kadang tak tahu sedang berperangai seperti 'diva' atau ada buat perangai tak betul.

"Tak perlu marah pun sebenarnya. Kadang-kadang ada yang cakap artis baharu ini besar kepala, tapi mereka pun sebenarnya tak tahu apa yang dibuat itu salah.

"Jadi, kalau ada pelakon baharu buat hal pada saya, saya faham sebab mereka baru lagi dalam bidang ini. Kecuali pelakon lama yang buat, memang kenalah," katanya pada sidang media Home of Kids oleh Astro di Dadi Cinema Pavillion, di sini, hari ini.

Pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu juga percaya pasti ada alasan tertentu juga apabila pendatang baharu ingin bayaran lebih.

"Mungkin itu disebabkan mereka sudah berduit atau ada buat kerja-kerja lain di luar, jadi perkiraan harga mereka sebegitu. Mereka juga bukan tahu sangat perkara ini," katanya.

Berkongsi penerimaannya dalam industri pada tahap ini, Bell tetap terharu masih ramai masih mengenai serta teruja setiap kali bertemu dengannya.

"Saya tetap bersyukur kalau ada yang mahu bergambar dengan saya. Saya juga tak sangka masih diterima sampai sekarang.

"Saya tak minta untuk menjadi lebih dahsyat atau dapat lebih banyak tawaran lakonan. Saya sama sahaja dan bersyukur dengan apa yang dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 9:42 PM