Sophia Albarakbah
Sophia Albarakbah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Doakan saya dapat lelaki yang baik-baik. Itu sahaja."

Demikian jawab pelakon, Sophia Albarakbah ketika ditanya mengenai statusnya selepas dikhabarkan sudah menamatkan hubungan dengan kekasih yang juga seorang doktor.

Sophia, 30, yang tidak mahu menjelaskan secara terperinci berkata, kehidupannya berjalan seperti biasa, di mana, dia memberi tumpuan penuh kepada karier lakonannya.

"Saya okay. Sekarang, saya sibuk bekerja dan bakal ada filem yang akan menyusul. Kehidupan saya macam biasa, sama sahaja seperti sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada jejaka itu akan tetap menemaninya saat hadir ke acara-acara seperti kebiasaan, Sophia berkata, dia masih bersahabat dengannya dan terbuka untuk ditemani oleh mana-mana sahabatnya.

"Saya terbuka sahaja. Apa pun, kami masih lagi kekal berkawan jadi jika kawan-kawan nak datang teman saya menghadiri acara, datang sahaja," katanya.

Terdahulu, Harian Metro terlihat kelibat Sophia di satu lokasi di Genting Highland, beberapa minggu lalu tanpa kehadiran kekasihnya, sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Sophia memaklumkan bahawa dia ketika itu bersama saudara mara dan keluarganya.

Sophia hadir di acara Viu Lokal Lah bersempena Hari Kemerdekaan yang berlangsung di Lalaport, Kuala Lumpur, semalam.

Berkongsi mengenai kerjaya, Sophia berkata dia akan muncul dengan drama terbaharu berjudul From Saga With Love yang akan ditayangkan di platform Viu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 12:06 PM