Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon wanita sensasi, Sophia Albarakbah muncul buat kali pertama pada sidang media Tonton Anugerah Drama Sangat 2023 (TADS 2023) di sini, selepas kontroversi 'orang ketiga' membabitkannya dengan pelakon, Aliff Aziz selepas membintangi drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah. 

Sophia, 30, ketika ditemui bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai kontroversi itu dan hanya mahu menjawab berkenaan dengan penggambaran drama terbabit yang masih berbaki kira-kira dua minggu lagi.

"Sekarang, saya mahu fokus untuk menghabiskan penggambaran drama ini. Syukur, respons terhadap drama juga sangat baik. 

"Saya tak jangka dapat sambutan baik sebegini. Ia memang agak 'rushing' kerana kami masih dalam penggambaran dan drama ini juga sudah menemui penonton serta diterima ramai kerana sudut lakonan dan jalan cerita," katanya.

Sophia berkata, dia melihat semua pelakon, kru dan pengarah bekerja kuat untuk drama ini dan berharap penonton dapat menyokong drama ini sehingga tamat disiarkan nanti.

Ditanya adakah dia terganggu selepas apa yang berlaku, Sophia berkata,dia melihat semua orang bekerja dengan profesional. Setakat ini semuanya baik-baik saja kerana semua orang bersikap profesional.

"Semua orang fokus dengan kerja masing-masing bermula hari pertama sehingga sekarang. Jadi, saya tidak terganggu langsung untuk meneruskan penggambaran drama ini," katanya.

Terdahulu, Harian Metro ada melaporkan hubungan Sophia dan Aliff didakwa dingin di lokasi apabila masing-masing mengambil pendekatan tidak berkomunikasi dan hanya bersikap profesional terhadap kerja.

Dalam pada itu, pihak pengurusan Sophia turut memaklumkan mereka sedia untuk memberi penjelasan berhubung kontroversi berlaku selepas selesai penggambaran nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 4:47 PM