Daiyan Trisha
Daiyan Trisha
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya rasa, itu mungkin spekulasi mereka."

Demikian kata pelakon, penyanyi dan penulis, Daiyan Trisha ketika diminta mengulas mengenai tanggapan netizen yang memetik nama pelakon Aedy Ashraf selepas Daiyan memuat naik puisi berkaitan kecurangan di media sosialnya, baru-baru ini.

Daiyan, 30, berkata, apa yang dikongsikannya hanyalah sebahagian daripada kandungan buku Tulisan by Daiyan Trisha yang akan diterbitkannya tidak lama lagi.

"Mereka hanya nampak puisi yang saya keluarkan pada waktu itu. Jadi, apa yang saya kongsikan adalah apa yang ada dalam buku itu, kandungan buku itu.

"Buku Tulisan by Daiyan Trisha ini mengumpulkan tulisan saya sejak 2018 lagi sampailah 2022. Memang saya tekankan mengenai perasaan, hubungan dan kehidupan.

"Jadi, dalam kehidupan saya itu, ada positif dan negatif. Semua yang saya masukkan ke dalam buku itu adalah perasaan dan penceritaan saya serta apa yang saya rasa.

"Saya bukukan sebab dengan cara menulis itulah, saya melepaskan semua yang saya rasa," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Daiyan, buku yang mengumpulkan 222 puisi berbahasa Melayu dan Inggeris itu juga menjadi ruang untuknya menuangkan segala perasaan dan pengalamannya untuk dikongsi bersama mereka yang pernah melalui perkara sama.

"Banyak perkara yang saya sudah lalui. Apa yang orang berspekulasi, terserah kepada mereka. Bagi saya, buku saya adalah apa yang saya rasa.

"Saya tulis pun, sebab mungkin di luar sana (pembaca), ada orang yang boleh rasa ada kaitan dengan kisah mereka. Ada yang beritahu saya, mereka boleh rasa perasaan yang mendalam dalam tulisan itu kerana pernah melalui benda sama," katanya.

Daiyan ditemui di acara Viu Lokal Lah bersempena Hari Kemerdekaan yang berlangsung di Lalaport, Kuala Lumpur, semalam.

Terbaharu, Daiyan kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi dari Korea Selatan, W: Two Worlds.

Dalam drama bersiri yang akan ditayangkan di platform Viu itu, Daiyan bergandingan dengan pelakon-pelakon lain antaranya Hun Haqeem, Elizabeth Tan, Mierul Aiman, Faizal Hussein, Tony Eusoff dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:54 PM