Sophia Albarakbah
Sophia Albarakbah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Sophia AlBarakbah yang sering berlakon drama genre cinta teringin membawakan watak-watak lain sekiranya berpeluang.

Sophia, 28, berkata, pemilihan dibuat pengarah, namun sekiranya diberi pilihan dia mahu berlakon watak yang berbeza.

"Saya nak bawa watak seperti dalam cerita fantasi atau zaman dahulu kala yang lebih mencabar lakonan saya agar melekat di hati penonton.

"Sebenarnya banyak lagi watak yang saya nak cuba bawakan tapi kenalah perlahan-lahan. Nanti ada rezeki, adalah," katanya kepada Harian Metro.

Sophia kini semakin dikenali ramai selepas membintangi pelbagai drama antaranya Suamiku Lelaki Pendosa bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz.

Terbaru, dia kini dalam penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah bergandingan dengan Aliff Aziz.

Dia juga berlakon filem komedi seram berjudul Ada Hantu 2 arahan Hairul Azreen.

Ditanya berkenaan popularitinya sekarang, Sophia berkata, orang semakin mengenalinya sekali gus ramai mula mengikuti drama lakonannya.

"Lagi ramai tengok cerita saya. Makin ramai sokong dan minat. Kehidupan saya pun okey, hanya agak sibuk dengan penggambaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:16 PM