Syed Ahmad Syed Abdul Rahman@Altimet. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syed Ahmad Syed Abdul Rahman@Altimet. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Harapan pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki, 52, yang berharap rakannya, Altimet berjaya dalam perjuangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, hari ini, termakbul.

Komposer dan penyanyi berusia 45 tahun itu berjaya menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Lembah Jaya dalam PRN kali ini, sekali gus menggalas gelaran Yang Berhormat (YB).

Altimet atau nama sebenarnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berjaya menewaskan pesaing dari Perikatan Nasional (PN), Sharifah Haslizah Syed Ariffindengan majoriti undian besar berpihak kepadanya.

Penyanyi lagu Amboi itu berjaya meraih sebanyak 26,172 undi menewaskan pencabarnya, Sharifah Haslizah yang memperoleh 19,852 undi, sekali gus Altimet menang dengan majoriti 6,320 undi.

Justeru, Altimet kini berstatus 'wakil rakyat' sebaris dengan pelakon juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Melaka, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau lebih dikenali Dira Abu Zahar.

Sementara itu, Afdlin dalam temubual dengan Harian Metro menyifatkan tidak ada kurangnya juga kalau seorang artis memasuki politik dan menjadi calon untuk PRN, sekali gus ini dibuktikan Altimet dengan kemenangannya.

"Saya harap agar Altimet berjaya dalam percubaannya kali ini untuk memenangi DUN Lembah Jaya. Rakan artis semua menyokong dan memberi semangat kepadanya kerana dia antara artis baharu yang agak ada nama bertanding mewakili PH.

"Semangat kentalnya yang menyertai arena politik ketika ini dan sudah menjadi calon bertanding di PRN membuatkan kita menyokong dan memberi semangat untuk dia berjuang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 11:08 PM