Pegawai Pengurus Pilihanraya N20 Lembah Jaya, Ir Ts Zafrul Fazry Mohd Fauzi (kiri), mengumumkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman@Altimet, memenangi DUN N20 Lembah Jaya ketika pengumuman keputusan Pilihanraya Negeri Selangor di Dewan MPAJ, Kampung Ampang Indah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pegawai Pengurus Pilihanraya N20 Lembah Jaya, Ir Ts Zafrul Fazry Mohd Fauzi (kiri), mengumumkan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman@Altimet, memenangi DUN N20 Lembah Jaya ketika pengumuman keputusan Pilihanraya Negeri Selangor di Dewan MPAJ, Kampung Ampang Indah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : "Buat masa ini, pihak kami membuat perancangan, mengumpul maklumat dan susun atur semula pasukan untuk bersiap sedia bekerja selepas majlis angkat sumpah sebagai wakil rakyat nanti," kata penyanyi rap dan komposer terkenal, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, 45, ketika ditanya perancangannya selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), semalam.

Mengenai kawasan yang akan dilawati pula, kata Altimet, dia akan melawat semua kawasan pengundi di taman perumahan, kampung serta daerah dalam tempoh seminggu ini.

"Semuanya bergantung pada pasukan nanti. Kalau mengikut daerah, ada 18 daerah kawasan mengundi yang boleh dilawati nanti," katanya.

Ditanya tanggungjawab berat yang akan digalas sebagai wakil rakyat pula, Altimet berkata, dia sudah bersedia dari aspek mental dan fizikal.

"Saya pernah bertugas sebagai pegawai penyelaras di DUN Lembah Jaya hampir 10 bulan dan aktiviti di kawasan pengundian sudah menjadi amalan biasa.

"Saya juga tidak risau dengan tanggungjawab berat sebagai wakil rakyat sebaliknya risau jika tidak beri komitmen 100 peratus kepada pengundi kawasan.

"Itu jarang berlaku kerana dalam bidang seni pun, saya beri komitmen 100 peratus dan sudah lumrah bagi saya," katanya.

Mengulas antara kerjaya sebagai artis dan ahli politik pula, Altimet berkata, kedua-duanya ada juga persamaan.

"Kerjaya sebagai artis dan ahli politik ada juga persamaan kerana kita kena berdepan dengan masyarakat, perlu jaga imej dan pandai bercakap kerana kita perlu berdialog serta menerima maklum balas atau kritikan.

"Selain itu, kita perlu memasarkan perkhidmatan kita atau disediakan oleh majikan," katanya.

Bagaimanapun, Altimet mengakui dia masih baru dalam bidang politik berbanding bidang seni yang diceburi sejak dua dekad lalu.

"Saya baru dua tahun terbabit dalam bidang politik dan jika nak dibandingkan dengan bidang seni sudah 20 tahun. Namun, saya percaya semua benda yang kita buat ada cabarannya. Insya-Allah, saya akan tanganinya. Saya seorang yang kuat bekerja serta suka belajar benda baru," katanya.

Altimet menawan kerusi itu dengan memperoleh 26,298 undian menewaskan Sharifah Haslizah Syed Ariffin daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 19,620 undi.

Dengan kemenangan itu, Altimet menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Dira Abu Zahar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 2:39 PM