Kuala Lumpur: Anda peminat kumpulan Blink-182? Jika ya, anda mungkin kempunan untuk menonton konsert mereka di Malaysia susulan aksi penyanyi dan pemain gitarnya, Tom Delonge dengan penyanyi yang mencetus kontroversi di negara ini, Matty Healy dari 1975, baru-baru ini.

Dalam persembahan di Festival Muzik Lollapalooza di Chicago, Amerika Syarikat, baru-baru ini, Delonge bertindak memeluk dan berlaga pipi dengan Healy di atas pentas.

Delonge kemudian memuat naik kenyataan sinis di media sosial yang ditujukan terhadap negara ini.

"Rasanya saya dan The 1975 tidak akan datang ke Malaysia. Sepasang lelaki bercium di persembahan hebat Matty," tulisnya.

Hantaran itu nyata membuat ramai peminatnya terutama dari Malaysia kecewa. Malah, ada yang menyatakan hilang rasa hormat terhadap mereka.

Selepas lebih tiga minggu mencetuskan kontroversi di Good Vibes Festival (GVF) 2023, persembahan di Lollapalooza itu adalah yang pertama untuk The 1975.

Healy juga sempat membuat lawak sinis berhubung isu mereka disenarai hitam dari membuat persembahan di Malaysia.

"Kamu mahu tips melancong? Jangan pergi ke…..," katanya sinis.

Ketika GVF2023 yang berlangsung di Sepang pada 21 Julai lalu, Healy menimbulkan kekecohan dengan pelbagai aksi mengejutkan di atas pentas.

Dia secara terbuka mempertikai undang-undang Malaysia berhubung isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Dia kemudian berkucupan dengan pemain bassnya.

Dia juga selamba meminum minuman keras, meludah ke arah penonton dan merosakkan drone yang merakam konsert itu.

Susulan kejadian itu, konsert terbabit dihentikan serta-merta dan acara yang sepatutnya berlangsung tiga hari itu dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 11:20 AM