Kumpulan The 1975
Kumpulan The 1975
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penganjur Good Vibes Festival (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA) sudah mengeluarkan surat tuntutan terhadap kumpulan muzik dari England, The 1975 untuk bertanggungjawab dan membayar ganti rugi kerugian ditanggung FSA berikutan pembatalan GVF, baru-baru ini.

FSA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan itu di mahkamah England sekiranya gagal memenuhi tuntutan berkenaan.

"FSA menyelar keras kelakuan kumpulan itu sewaktu persembahan mereka di GVF2023 khususnya penyanyi, Matthew Timothy Healy menggunakan bahasa kasar, merosakkan peralatan dan perilaku tak beradab.

"Ia bukan saja secara terang-terangan melanggar garis panduan tempatan dan undang-undang Malaysia, tetapi juga mencalar reputasi festival yang berusia 10 tahun itu," katanya.

Menurutnya, The 1975 dilihat sengaja berniat melanggar perjanjian dengan FSA sewaktu penampilan mereka di festival berkenaan.

"Perlanggaran itu mengakibatkan pembatalan festival berkenaan sehingga menyebabkan kerugian kewangan buat FSA, memberi impak buruk kepada artis tempatan dan perniagaan yang bergantung kepada kejayaan festival itu. Ramai rakyat Malaysia terkesan," katanya.

FSA juga sangat menghargai kepercayaan peminat dan pihak berkuasa yang diletakkan kepada mereka bertahun lamanya.

"Organisasi itu masih kekal takkan berbelah bagi dalam komitmen menyajikan pengalaman muzik secara langsung yang meriah di Malaysia. Selain itu, memastikan akan patuh sepenuhnya dengan undang-undang serta peraturan tempatan," katanya.

Pada GVF2023 yang berlangsung di Sepang pada 21 Julai lalu, Healy menimbulkan kekecohan dengan pelbagai aksi mengejutkan di atas pentas.

Dia secara terbuka mempertikai undang-undang Malaysia berhubung isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum berkucupan dengan pemain bass kumpulan itu.

Dia juga selamba meminum minuman keras, meludah ke arah penonton dan merosakkan drone yang sepatutnya merakamkan acara terbabit.

Susulan kejadian itu, konsert terbabit dihentikan serta-merta dan acara yang sepatutnya berlangsung tiga hari itu dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 5:54 PM