Redzuan Muharam

Sik: Kerinduan keluarga penyanyi Siti Sarah Raisuddin terhadap Allahyarham terubat selepas bertemu dengan Nur Miza Najla Mustaffa yang sebelum ini tular kerana mempunyai wajah seiras pelantun lagu Kesetiaan itu.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas suami Allahyarham yang juga pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, memuat naik video pertemuan berkenaan dengan Nur Miza, 9, di Instagram (IG) miliknya.

Video itu menunjukkan bapa Siti Sarah, Raisuddin Hamzah, 67, Uwais Alqarni, 11, dan ibu tiri Allahyarham, Siti Fatimah Suberi, 36 atau Makde datang bertemu dengan Nur Miza.

Sementara Shuib tidak dapat turut serta tetapi ada membuat panggilan video ketika pertemuan berkenaan.

"MasyaAllah comelnya, mcm dia (Siti Sarah) masa kecik2 (kecil), budak sekolah rendahAllah Maha hebat.….. Uwais pergi tak ajak. Kirim salam adik Miza. Ade rezeki nak jumpa nanti.

"Semoga ada rezeki bertemu kamu," tulis Shuib di kapsyen IG miliknya.

TANGKAP layar video pertemuan Raisuddin Hamzah dan Nur Miza Najla. FOTO Intagram Shuib
TANGKAP layar video pertemuan Raisuddin Hamzah dan Nur Miza Najla. FOTO Intagram Shuib

Berkongsi kisah berkenaan, ibu saudara Nur Miza Najla, Nur Atira Nasaruddin, 23, berkata, pertemuan itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Menurut Nur Atira , keluarga Allahyarham Siti Sarah meluangkan masa selamabeberapa jam sebelum pulang.

"Seminggu sebelum, saya dihubungi keluarga Allahyarham (Siti Sarah) yang menyatakan hajat mereka untuk bertemu Miza (nama panggilan).

"Semalam, mereka sekeluarga datang tetapi tanpa Shuib dan luangkan masa sampai malam.

"Nampak bapa Allahyarham (Raisuddin Hamzah) yang paling teruja bersembang malah ada juga tunjukkan gambar Allahyarham ketika kecil selain beri hadiah tudung kepada Miza," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

SHUIB membuat panggilan video dengan Nur Miza Najla Mustaffa. FOTO Intagram Shuib
SHUIB membuat panggilan video dengan Nur Miza Najla Mustaffa. FOTO Intagram Shuib

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Nur Miza Najla yang memiliki wajah seiras penyanyi, Allahyarham Siti Sarah dan tular selepas videonya dikongsikan oleh ibu saudaranya, Nur Atira.

Nur Miza Najla yang juga murid Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), di sini sedar persamaan itu dan mengakui meminati Siti Sarah walaupun tidak pernah bertemu dengan Allahyarham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 4:09 PM