Raisuddin Hamzah (kiri belakang) dan Shuib (tengah) bersama anak-anaknya pada majlis tahlil Siti Sarah Raisuddin. FOTO Saifullizan Tamadi
Raisuddin Hamzah (kiri belakang) dan Shuib (tengah) bersama anak-anaknya pada majlis tahlil Siti Sarah Raisuddin. FOTO Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bapa kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Raisuddin Hamzah bersyukur apabila dapat menjaga anak sulung arwah iaitu Uwais Alqarni, 10, bagi mengubat kerinduan.

Raisuddin, 66 berkata, Uwais memiliki raut wajah dan perwatakan yang hampir serupa dengan Sarah.

"Saya memang menjaga Uwais dan dia sama seperti arwah Sarah. Uwais selalu tidur dengan saya sejak kecil sehinggalah ke hari ini. Dengan keberadaannya di rumah dapatlah mengubat kerinduan terhadap arwah.

"Fizikal Uwais terutama wajah dan tangannya sama seperti arwah. Bagaimana sifat manjanya juga saling tidak tumpah seperti ibunya.

"Dalam kesedihan, saya bersyukur ada seorang pengganti yang memiliki sifat sama seperti Sarah," katanya ketika ditemui pada majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian Sarah, malam tadi.

Shuib (dua kanan) pada majlis tahlil Siti Sarah Raisuddin. FOTO Saifullizan Tamadi
Shuib (dua kanan) pada majlis tahlil Siti Sarah Raisuddin. FOTO Saifullizan Tamadi

Mengimbas kembali kenangan bersama arwah, Raisuddin tidak menyangka sentuhan terakhir anaknya itu sebelum keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital adalah kenangan terakhir mereka.

Lebih menyedihkan, Raisuddin tidak dapat menghadiri pengebumian anaknya itu kerana turut dijangkiti Covid-19.

"Sebelum arwah ke hospital, kami tidak bercakap. Dia hanya pegang tangan saya ketika saya sedang duduk di sofa. Kami tidak saling memandang namun saya tahu itu adalah tangan arwah.

"Ada juga rasa terkilan kerana tidak berkesempatan untuk bercakap kerana yakin dia akan kembali. Saya juga tidak sangka sentuhan itu adalah yang terakhir buat kami. Dia pergi buat selamanya selepas keluar dari rumah itu," katanya.

Sarah menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19.

Untuk rekod, beberapa hari sebelum meninggal dunia, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos tahun lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Selain Uwais, Ayash, Sarah yang mendirikan rumah tangga dengan pelawak Shuib pada 2011 turut mempunyai dua orang cahaya mata lain iaitu Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 1:39 PM