NIKKI ambil langkah berani.
NIKKI ambil langkah berani.
Nurul Sabrina Jamali


BERKEMAMPUAN menyanyikan lagu pelbagai genre sudah cukup membuktikan dirinya antara penyanyi terbaik.

Bahkan Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat, 38, kembali menjadi bualan peminat industri muzik negara selepas kemunculannya pada program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) pada 2021.

Kualiti vokal dimiliki juga berjaya menempatkan Nikki berada di kelas tertinggi dalam dunia hiburan tanah air.

Selepas kemunculan single Sudah yang berentak balada pada tahun lalu, Nikki kini kembali mempertaruhkan lagu bertajuk Panas ciptaan komposer terkenal, Audi Mok dan lirik ditulis oleh Shazee.

Menariknya, percubaan pertama kali Nikki menyanyikan lagu Panas yang membawa genre Electric Dance Music (EDM) disifatkan cukup berani.

"Saya sendiri teruja untuk melancarkan lagu ini dan mungkin ramai yang tidak menyangka saya akan mengeluarkan lagu seperti ini.

"Lagu ini dirakam pada hujung tahun lalu dan agak lama ia disimpan disebabkan menunggu masa sesuai dikeluarkan.

"Saya bukan jenis yang takut mencuba sesuatu yang baharu meskipun lagu ini adalah satu pertaruhan yang berani.

"Saya gemar menyanyikan lagu rancak yang ada unsur tarian, bertenaga dan memberi peluang kepada saya tampil dengan persembahan 'theatrical'," katanya.

Menurut Nikki, kemunculan single terbaharunya itu dapat mengubat kerinduan peminat yang sentiasa menginginkan karya daripadanya.

Mengulas lanjut, Nikki mengakui lagu itu paling seronok pernah dirakamnya selepas album Maharani dan Hawa.

Dalam masa sama, Nikki berharap lagu Panas diterima baik peminat dan seluruh pencinta muzik tempatan.

"Saya berharap lagu ini dapat terus diterima ramai kerana genre yang dibawakan berbeza daripada lagu sebelum ini seiring permintaan peminat yang ingin saya muncul membawakan genre rancak," katanya.

Terdahulu, Nikki gembira berpeluang menyertai GV8 walaupun pernah ditawarkan beberapa kali, namun tidak menyertainya di saat akhir.

Berkongsi mengenai kisahnya, alasan dia tidak menyertai program itu kerana memilih untuk memberi tumpuan kepada menjaga anaknya ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 6:45 AM