ADIBAH Noor akui serba tak kena untuk kembali ke pentas selepas pandemik.
ADIBAH Noor akui serba tak kena untuk kembali ke pentas selepas pandemik.
Norhayati Nordin


PENULARAN Covid-19 hampir dua tahun ini ternyata memberi impak besar dalam kalangan penyanyi tanah air. Apatah lagi, begitu banyak kekangan berlaku dan tiada acara persembahan langsung dianjurkan.

Berhadapan situasi getir ini, bukan hanya membabitkan risiko keselamatan kesihatan dan pendapatan terjejas, ia turut menyebabkan perasaan rindu kebanyakan penyanyi menebal untuk beraksi di pentas.

Itu antara yang dirasakan penghibur berpengalaman dan bersuara lunak, Adibah Noor, 51, apabila mengakui dia sudah lama tidak menyanyi di pentas dan perasaannya cukup gementar.

"Saya sebenarnya kurang selesa ketika menyanyikan lagu Terlalu Istimewa itu kerana sudah lama tak menyanyi sejak awal tahun lalu apabila Covid-19 muncul dalam negara. Memang dah lama sangat tak buat persembahan pentas.

"Ia menjadikan saya serba tidak kena, tetapi perasaan itu perlu dilawan untuk membiasakan diri semula. Maklumlah 'office' lama tak masuk (pentas nyanyian) dan juga saya pun dah lama tidak menyanyi secara 'live' di televisyen.

"Justeru, latihan harus saya perkasakan semula dengan guru vokal untuk membiasakan diri kembali. Apapun, saya yakin boleh melakukan sebaik mungkin untuk persembahan mingguan nanti," katanya.

Adibah yang aktif juga sebagai pelakon, baru-baru ini ditemui media pada majlis sidang media

Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang akan membuka tirai persaingannya mulai 21 November ini dan disiarkan Astro Ria, jam 9 malam.

PENCABAR utama, Adibah akui vokal Nikki Palikat mantap.
PENCABAR utama, Adibah akui vokal Nikki Palikat mantap.

Selain Adibah, program pertandingan nyanyian popular itu

turut disertai 12 lagi peserta lain seperti Nikki Palikat, Bandi Amuk, Shidee, Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley, Suki Low, Nico, Ani Mayuni, duo pelawak Saiful Apek dan Yassin Senario, termasuk Upiak Isil dari Indonesia dan Aliff Aziz (Singapura).

Mengulas peluangnya yang sudah disebut-sebut mampu bertahan hingga ke final GV8 dan ada kemungkinan bergelar juara, wanita kelahiran ibu kota ini memaklumkan masih terlalu awal untuk membuat jangkaan.

"Persaingan pun belum lagi bermula dan sukar untuk mempercayainya kerana saya melihat kesemua peserta yang terpilih bersaing dalam GV8 kali ini mempunyai kemampuan tersendiri. Masing-masing ada pesona mereka.

"Untuk saya, kena sentiasa berusaha membuat persembahan terbaik kerana cabaran utama pertandingan ini ialah menyanyikan lagu orang lain dan bermacam genre muzik. Jadi, ia ternyata sesuatu yang tidak mudah.

"Dari segi vokal nyanyian harus sentiasa dijaga dan genre lagu yang pelbagai itu memang memerlukan kita mencabar diri. Malah, pencabar sengit saya dalam GV8 ini adalah Nikki. Mendengarkan vokalnya, sangat mantap," katanya.

Menurut Adibah, dia juga tidak mahu melepaskan peluang menghiburkan penonton. Katanya, sesiapa yang masuk pertandingan memang nak menang, tapi paling utama kena pastikan penonton gembira dan terhibur dengan nyanyian dipersembahkan.

GV8 yang berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu membariskan tiga juri profesional tetap iaitu Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:45 AM