NIKKI Palikat agak digeruni dari segi vokal.
NIKKI Palikat agak digeruni dari segi vokal.
Norhayati Nordin


TAHAP vokal dimiliki penyanyi kelahiran Sabah, Nikki Palikat, 36, sememangnya mantap dan tidak hairanlah apabila kemunculan semulanya ke pentas persembahan nyanyian dianggap cukup memberi saingan sengit.

Biarpun dilihat jarang muncul dalam acara hiburan mahupun di kaca televisyen sebelum ini apabila dia sudah berkeluarga, itu tidak bermakna pemilik nama sebenar Nicolette Louisa Palikat ini sudah melupakan kerjaya seninya.

Nikki yang juga isteri kepada komposer terkenal, Audi Mok berkata, dia tetap aktif dalam industri hiburan tetapi lebih cenderung membintangi teater muzikal tempatan.

"Saya tidak pernah menyepi atau menghilang dari industri hiburan selama ini. Cuma, saya lebih banyak memberi tumpuan dengan membintangi teater dan nyanyian pula diperlahankan kerana sibuk menjaga anak.

"Sekarang, anak lelaki saya, Liam sudah berusia 11 tahun dan bolehlah rasanya untuk saya cuba merancakkan semula kerjaya nyanyian. Ini kerana saya teringin mempunyai sebuah album solo," katanya.

Nikki yang pernah menyertai program Malaysian Idol musim pertama pada 2004 dan popular dengan lagu Caramu dan Drama, bertemu jodoh dengan Audi pada 2009 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka memperoleh anak tunggal lelaki.

Bakal berentap dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) mulai Ahad ini, Nikki berkata, dia lebih fokus kepada mengasah vokalnya semula kerana berhadapan saingan peserta yang hebat-hebat.

"Saya akan menjalani kelas vokal semula dan cuba berusaha memberi persembahan menghiburkan nanti. Walaupun rata-rata peserta dipilih kali ini bagi saya mempunyai kehebatan tersendiri, namun paling tak disangka adalah kehadiran kumpulan Senario.

"Terus-terang, saya teruja dapat beraksi satu pentas dengan mereka (Senario) kerana saya adalah salah seorang peminat setia Senario. Saya membesar dengan karya seni mereka dan lagu-lagu yang cukup popular.

"Malah, vokal Apek dan Yassin juga masih mantap. Ini menjadikan kehadiran mereka pastinya akan memberi saingan hebat. Apapun, saya cuma nak 'enjoy' saja dalam persembahan dan tidak begitu memikirkan ia adalah pertandingan," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang didakwa bakal bertahan hingga minggu ke-10 persaingan GV8, Nikki berkata, terlalu awal untuk membuat ramalan sebegitu.

Katanya, dalam acara pertandingan macam-macam boleh berlaku dan dia enggan meletak harapan yang tinggi.

"Saya hanya mahu mencabar kemampuan diri menyanyikan pelbagai genre muzik dan lagu penyanyi lain. Ia pastinya bukan mudah, tetapi saya akan cuba memberikan persembahan yang terbaik.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang setia menyokong selama ini dan selalu bertanya bila saya mahu membuat 'kemunculan semula' dalam nyanyian," katanya yang kali terakhir dia merakamkan lagu pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:10 AM