SYAMSUL Yusof bersama bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana selepas selesai pengesahan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
SYAMSUL Yusof bersama bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana selepas selesai pengesahan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, hari ini semuanya selesai dan berjalan dengan lancar seperti yang kami bincangkan sebelum ini. Ia demi kebaikan dan masa depan anak-anak saya," kata pelakon dan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.

Syamsul sah bercerai talak satu dengan isteri yang juga pelakon, Puteri Sarah selepas melafazkan talak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan jam 12.25 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas.

Menurut Syamsul keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan serta mendahului keperluan anak-anak mereka.

"Hari ini kami berpisah dengan talak satu, buat kali kedua. Tentang keperluan dan perbelanjaan anak-anak (Syaikhul Islam dan Sumayyah), semuanya ditanggung oleh saya.

"Apa pun, persefahaman itu, kalau difikirkan balik semuanya, tak lain tak bukan demi anak-anak.

"Kalau kami memikirkan tentang diri kami masing-masing sahaja, akan beri kesan kepada anak-anak. Kami sebagai ibu bapa, tak mampu memusnahkan masa depan anak-anak.

"Kalau berpisah cara yang tak baik pun, akan beri kesan kepada anak-anak. Jadi, pengakhiran yang baik. Jadi, kami okay dan teruskan sebagai kawan," katanya.

Sebelum hadir ke sesi hari ini, Syamsul dan Sarah juga mengadakan pertemuan dan berbincang mengenai keputusan untuk bercerai ini secara terperinci.

"Kami selesaikan secara terperinci tanpa membabitkan media sosial. Bahkan, peguam kami pun katakan bahawa lebih baik dan jelas kalau kami sendiri bersua dan selesaikan kemahuan masing-masing," katanya. Sementara itu, Sarah juga mengesahkan mengenai perbincangan terperinci yang berlaku antara mereka.

"Alhamdulillah, semuanya selesai. Semalam, kami dah berjumpa dan selesaikan semuanya lebih terperinci. Mengenai perasaan saya, biar saya seorang tahu apa saya rasa," katanya.

Sarah juga berharap agar persengketaan antara mereka kini tamat.

"Semoga selepas ini tak ada persengketaan lagi dan dapat berbaik seperti yang sudah kami janji," katanya. Pada prosiding 25 Mei lalu, Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaannya terhadap lafaz cerai sebanyak dua kali yang sudah oleh Syamsul.

Menerusi prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) itu, hakim memaklumkan ikatan perkahwinan Puteri Sarah dan Syamsul tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.  

Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, Syamsul pada Januari lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangga mereka berlanjutan sejak empat tahun lalu. 

Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 1:56 PM