Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Belum ada kesudahan. Begitulah rumusan mengenai kemelut rumah tangga pasangan selebriti Syamsul Yusof, 39, dan isteri pertama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, yang terus berpanjangan.

Tarikh baharu iaitu 14 Jun ini diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan sebagai tarikh baharu untuk sebutan status pengesahan lafaz cerai mereka.

Peguam Syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kedua-dua pihak perlu mengesahkan dua lafaz cerai yang didakwa pernah dilakukan oleh Syamsul sebelum ini.

"Tujuan utama kita hari ini untuk mahkamah dengar penjelasan daripada pegawai Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) yang mengendalikan proses. Mahkamah puas hati pegawai JKP telah kendalikan kes dengan tertib.

"Mereka baca dapatan (finding) dan mahkamah maklumkan dapatan pegawai JKP (wakil masing-masing) bahawa perkahwinan ini tak boleh diselamatkan. Antara yang dikongsikan adalah shiqaq, ada pihak ketiga dan tidak bertanggungjawab.

"Sebelum kita teruskan dengan proses yang berikutnya, iaitu untuk merujuk pada Hakam, pihak Azmi (peguam Syamsul) membangkitkan lafaz talak yang sudah dilafazkan oleh anak guam saya," katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berikutan isu dua lafaz sebelum ini, mahkamah telah mendapati isu itu perlu diselesaikan dulu kerana membabitkan talak.

"Kali ini pun kita mohon untuk cerai juga, jadi mahkamah perlu tahu ini talak ke berapa? Dia kata ada dua talak dan satu taklik. Taklik adalah 'conditional divorce',"

"Kalau secara yang dinyatakan telah berlaku, oleh kerana itu mahkamah bagi satu tarikh lain untuk kedua-dua belah pihak bincang semula tentang siapa yang nak fail permohonan untuk mengesahkan perceraian di luar mahkamah.

"Sebab yang dua itu adalah perceraian di luar mahkamah, kita perlu failkan di mahkamah untuk mahkamah sahkan talak satu dan dua di luar mahkamah itu sabit atau tidak. Tarikhnya kena tunggu arahan dari anak guam kerana dia yang akan maklumkan kepada JKP," katanya.

Akberdin berkata, dia mengesyorkan kepada hakim untuk memberi pandangan seeloknya suami memfailkan kerana talak pada suami.

"Peguam dia kata memandangkan isu ini dibangkitkan oleh anak guam saya, maka anak guam saya kena failkan. Manakala hakim kata terpulanglah. Bagi saya yang penting kita jangan buang masa.

"Sebab itu saya cadangkan defendan (Syamsul) yang failkan. Tapi peguamnya kata sebab kita bangkitkan, kitalah yang failkan. Jadi kita akan teliti semua ini sebelum tarikh akan datang kerana peguam dia pun nak jumpa kita.

"Jadi kita akan jumpa dan bincang secara baik untuk selesaikan kes ini. 14 Jun ini tarikh untuk kedua-dua pihak hadir ke depan hakim semula dan tahu status terkini siapa yang failkan," katanya.

Sebelum ini, sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) di sini, menemui jalan buntu.

Puteri Sarah mendakwa usaha berdamai dengan Syamsul tidak akan terjadi, sebaliknya, dia nekad dengan keputusan bercerai.

Malah, Puteri Sarah mengaku enggan bersemuka dengan Syamsul, sebaliknya, meminta sesi itu dilakukan dalam bilik berasingan.

Berikutan itu proses JKP dibawa kepada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini. Menurut Akberdin, diikutkan prosedur hari ini, matlamat JKP untuk berdamai tidak tercapai.

"Langkah berikutnya nak dibuat ialah Hakam Keluarga Seksyen 48, namun tak kesampaian kerana tiba-tiba isu talak sebelum ini pula berlaku.

"Kami kena bangkitkan yang itu dahulu. Mahkamah kena tahu ini talak ke berapa," katanya.

Terdahulu Puteri Sarah yang ditemui selepas prosiding tidak mahu mengulas lanjut kerana bergegas ke lapangan terbang untuk berangkat ke Jakarta, Indonesia, malam ini.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

SYAMSUL Yusof dan isterinya, Puteri Sarah meninggalkan mahkamah selepas sebutan semula kes perceraian dan Jawatan Kuasa Pendamai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SYAMSUL Yusof dan isterinya, Puteri Sarah meninggalkan mahkamah selepas sebutan semula kes perceraian dan Jawatan Kuasa Pendamai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 6:12 PM