Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Kemelut perkahwinan dihadapi pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, dan suaminya, Syamsul Yusof, 39, diharapkan dapat diselesaikan secara baik, hari ini.

Terdahulu, Puteri Sarah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini,  bagi perbicaraan perceraian mereka yang sudah berlanjutan sejak Januari lalu.

"Insya-Allah harap boleh selesai semuanya. Mohon doakan dan harap semoga kita berpisah," kata Puteri Sarah ketika ditemui media di perkarangan mahkamah.

Peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abd Kader berkata perbicaraan yang berlangsung hari ini juga kemungkinan menjadi penutup untuk kes perceraian pasangan sensasi itu.

"Hari ini adalah perbicaraan untuk pengesahan dua lafaz cerai yang didakwa Puteri Sarah sebelum ini dan juga status permohonan cerai yang baharu.

"Insya-Allah, kita mungkin dapat selesaikan semuanya pada hari ini," katanya.

Akberdin berkata, pihak mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu mengenai dakwaan dua lafaz cerai terdahulu itu sebelum meneruskan permohonan yang baharu.

"Sebelum pergi kepada permohonan lafaz cerai yang baharu, kita kena selesaikan pengesahan dua lafaz cerai yang didakwa sebelum ini. 

"Selagi dua benda itu (pengesahan cerai) belum selesai, mahkamah tidak boleh teruskan ke lafaz cerai baharu sebab nak tahu juga berapa kali perkara itu (lafaz cerai) sudah dilakukan," katanya.

Puteri Sarah Liyana hadir di mahkamah pada Pengesahan cerai Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Puteri Sarah Liyana hadir di mahkamah pada Pengesahan cerai Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS

Ujar Akberdin, pengesahan lafaz cerai juga bergantung di tangan suami dan pihak mahkamah perlu mendengar hujah mengenainya terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

"Ada beberapa persetujuan yang sudah dicapai dan akan usulkan kepada mahkamah. Jadi, semuanya bergantung di tangan suami jika dia nak setuju atau tidak. Kalau suami kata tak pernah berlaku, hakim kena dengar perkara itu juga," kataya.

Pada prosiding 25 Mei lalu, Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat Syamsul sebanyak dua kali terhadapnya.

Jika mahkamah mensabitkan perceraian berlaku sebanyak dua kali, ini bemakna permohonan cerai Puteri Sarah adalah kali ketiga.

Bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berkenaan memandangkan ia dibuat secara berasingan.

Terdahulu, prosiding JKP itu juga   memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.  

Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap Syamsul pada Januari lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangga mereka berlanjutan sejak empat tahun lalu. 

Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul yang membuat pengakuan sudah bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 11:10 AM