MAJLIS rumah terbuka Aidilfitri MPB di Balai Berita, Bangsar cukup meriah.
MAJLIS rumah terbuka Aidilfitri MPB di Balai Berita, Bangsar cukup meriah.
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


SUASANA rumah terbuka Media Prima Berhad (MPB) yang diadakan di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini sangat meriah. Apatah lagi, ia diserikan dengan pembabitan kira 1,000 kakitangan daripada pelbagai jabatan.

Acara bermula pada jam 10 pagi menampilkan kakitangan hadir menggayakan pelbagai busana raya cantik dan menawan seiring tema 'Seindah Kasih Colorpop Raya' yang ceria dan penuh warna-warni.

Tahun lalu, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri diadakan MPB mungkin terbatas oleh penularan pandemik Covid-19 namun kali ini semua kakitangan bebas berhibur namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga.

Sehubungan itu, rumah terbuka MPB di Balai Berita baru-baru ini dihadiri Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali. Turut sama memeriahkan majlis Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah.

Bukan saja dapat menjamu selera dengan sajian wajib hari raya seperti lemang dan rendang, kakitangan dihiburkan dengan persembahan beberapa kumpulan di bawah MPB.

Majlis diserikan dengan acara pembukaan iaitu sketsa muzikal diketuai Pengarang Urusan Kumpulan NSTP dan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarang Kumpulan News Straits Times (NST), Farrah Naz Karim.

Kumpulan lain bertanding juga ialah Big Tree Outdoor (BTO) dengan tema Riooh Raya, kumpulan Omnia menerusi persembahan O O Raya! dan kakitangan Wowshop tampil dengan persembahan ceria.

SOPHIA Albarakbah teruja hadir sebagai tetamu.
SOPHIA Albarakbah teruja hadir sebagai tetamu.

Bagi pelakon Sophia Albarakbah yang hadir sebagai selebriti tetamu berkata, dia terhibur dan tidak menduga kebanyakan kakitangan MPB berbakat dalam seni.

"Saya hadir pada majlis rumah terbuka MPB ini dengan penuh keterujaan, selain menghargai sokongan diberi kepada saya sebagai bakat baharu bidang lakonan. Saya amat berterima kasih dan teruslah menyokong saya.

"Sebagai penggiat dalam industri seni mahupun apa saja kerjaya yang diceburi, kita tidak boleh berjalan berseorangan. Kita amat memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak terutama media dan peminat untuk terus menyokong kita," katanya.

Sehubungan itu, suasana sambutan rumah terbuka MPB dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian membabitkan penyanyi Datuk M Nasir dan Aina Abdul dengan lagu raya menggamit nostalgia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 6:30 AM