Lakonan mantap barisan teraju drama Jaga Aku Selamanya
Lakonan mantap barisan teraju drama Jaga Aku Selamanya
Nur Ilyanie Hanisha Hisham


Kuala Lumpur: Drama bersiri Jaga Aku Selamanya berjaya mencecah 2.2 juta penonton pada minggu pertama ditayangkan slot Lestary di TV3.

Drama terbitan syarikat produksi KL Motion Pictures mengisahkan sebuah keluarga berdepan pelbagai cabaran sehingga menjadikan kehidupan anak berusia 12 tahun menjadi gelap dan huru hara.

Watak Azhar lakonan Baqir Jamalullail anak sulung dalam keluarganya perlu menggalas tanggungjawab seorang ibu kerana harus menjaga empat adiknya sehingga terpaksa berhenti sekolah.

Keadaan keluarga yang huru hara ini terjadi apabila bapa mereka Syukri (Johan As'ari) menghilangkan diri akibat ketagihan dadah dan Maya (Nadiya Nisaa) terpaksa membawa diri bekerja di bandar.

Kehidupan Maya di bandar turut diuji oleh majikannya Encik Mujid (Jeri Ariffin) yang gatal sehingga isterinya tidak berpuas hati dan akhirnya Maya dibuang kerja serta turut dipergunakan oleh Amri (Zac Zikrie) yang kononnya prihatin dengan nasib Maya.

Ketika Maya berada di bandar, Seri (Farhana Fahizam) yang merupakan anak kepada Mak Minah (Aishah Sudin) berjanji dengan Maya untuk menjadi pengantara antara Maya dan anak-anaknya tetapi bertindak tidak berhati perut terhadap mereka.

Duit kiriman Maya kepada anak-anaknya turut sengaja dicuri Seri demi keseronokannya.

Adakah Azhar dapat menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya dalam mengharungi kehidupan yang mencabar ini?

Drama arahan Wan Alauddin Wan Zainuddin, Shahril Sarjen dan Rashidi Ishak yang menggantikan drama Kami Budak Band ini ditayangkan sejak 15 Mac lalu bermula setiap Rabu hingga Sabtu jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 1:36 PM