Fazley bersama tiga anaknya, Payish, Piyash dan Piyush. Foto fail HM/IG
Fazley bersama tiga anaknya, Payish, Piyash dan Piyush. Foto fail HM/IG
Syafil Syazwan Jefri


CEF selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 40, kini semakin terbuka memperkenalkan anak anaknya kepada masyarakat.

Mereka adalah tiga puteranya, Ahmad Fariedz Shah atau Payish, 10, Ahmad Fieradz Shah (Piyash, sembilan tahun, Ahmad Firudz Shah (Piyush), tujuh tahun dan puteri bongsu, Alayna Selma, tujuh bulan.

Fazley ditemui berkata, dia tidak menolak rezeki anak-anaknya terutamanya anak-anak lelakinya yang kini mula menyerlah di depan kamera sebagai pelakon iklan.

“Alhamdulillah, Payish, Piyash dan Piyush mula menerima tawaran lakonan untuk iklan dan saya sendiri pun tak boleh tolak pintu rezeki mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sendiri meletakkan angka usianya yang masuk usia 40-an untuk melakukan perubahan dalam kehidupan dan keluarga.

“Saya pernah berkata kepada diri sendiri, masuk usia 40 tahun, saya akan lakukan perubahan dan lebih terbuka mengenai keluarga dan anak-anak.

“Tambahan pula, selepas saya dan isteri dikurniakan cahaya mata keempat, saya rasa sudah tiba masanya untuk anak-anak saya menyinar dalam apa yang mereka minat,” katanya.

Menurut Fazley, anak-anaknya sememangnya memiliki bakat masing-masing dalam bidang seni.

“Ketiga-tiga mereka berbakat dan boleh bermain alat-alat muzik. Selain itu, mereka juga tak kekok ketika berada di depan kamera.

“Mungkin bakat ini turun daripada saya dan isteri yang juga aktif dengan aktiviti pementasan ketika zaman remaja,” katanya.

Fazley bagaimanapun tidak begitu menggalakkan sekiranya anak-anaknya ditawarkan berlakon dalam drama.

“Drama memerlukan komitmen masa lebih banyak. Mereka kecil dan masih bersekolah. Jadi, buat masa sekarang saya izinkan mereka untuk berlakon iklan memandangkan jangka masa diperlukan tidak terlalu lama,” katanya.

Dia juga meletakkan syarat supaya anak-anaknya tidak terbawa-bawa dengan kerjaya dan lupa tanggungjawab sebagai pelajar.

“Yang pasti, saya ada letakkan syarat iaitu pelajaran mesti diutamakan. Mereka perlu siapkan kerja rumah, tidak boleh ponteng sekolah dan kelas agama,” katanya.

Selain itu, ketiga-tiga anaknya juga kini bakal muncul dalam program vlog yang akan ditayangkan di YouTube tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 8:20 PM