WAJAH ceria peminat yang hadir.
WAJAH ceria peminat yang hadir.
Ridzuan Abdul Rahman


Meriah dan gamat jadinya apabila peminat setia Mak Cun berpeluang bertemu barisan pelakon utama drama bersiri itu di sebuah majlis, baru-baru ini.

Lebih bermakna, mereka menerima layanan baik seolah-olah seperti sudah lama mengenali artis terbabit. Ia sekali gus mewujudkan kemesraan dan seakan-akan tiada jurang di antara mereka.

Fenomena drama yang menggunakan loghat Utara ini kembali mendapat tempat di hati penonton apabila musim keduanya disiarkan di TV3 bermula 29 April lalu. Atas permintaan ramai, kisah bedak sejuk Mak Cun ini bersambung sekembalinya Mak Cun dari Bangkok, Thailand.

Khabar angin mengatakan perniagaan Mak Cun akan terus berkembang di pasaran global. Penonton pasti terhibur dengan gelagat Mak Cun lakonan Erma Fatima, anak-anaknya dan penduduk kampung.

Drama bersiri 20 episod terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd arahan Bade Hj Azmi itu turut dibintangi Datin Seri Umie Aida, Balkisyh Samundur Khan, Nora Danish, Norish Karman dan Datuk Rahim Razali.

Sebagai penghargaan terhadap kejayaan yang diraih, Mak Cun memilih 10 peminat setianya melalui hashtag #makcun2contest di media sosial untuk makan malam bersama di majlis berkenaan.

Erma mengakui teruja dengan sambutan luar biasa penonton terhadap drama bersiri ini. Baginya drama ini mempunyai tarikan tersendiri hingga berjaya menarik perhatian penonton pelbagai peringkat umur.

Sebelum ini Erma pernah membayangkan untuk memasukkan pelakon terkenal Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dalam musim kedua Mak Cun. Apatah lagi Ogy turut menjayakan Teater Muzikal Mak Cun di Istana Budaya tahun lalu.

Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian berikutan jadual kerja Ogy yang padat.

“Perancangan itu sudah ada sejak awal lagi. Namun, apakan daya ketika penggambaran berjalan, Ogy terbabit dengan penggambaran drama bersiri lain.

“Stesen TV juga sudah tahu dan saya anggap tiada rezeki untuk kami bekerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:02 AM