Michelle Yeoh menang kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy. FOTO EPA
Michelle Yeoh menang kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy. FOTO EPA
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Ibu pelakon Tan Sri Michelle Yeoh, Datin Janet Yeoh menjadi penasihat utama dalam gaya penampilan anak perempuannya itu.

Janet, 84, berkata, sebagaimana kesungguhan ditunjukkan dalam filem lakonannya dan itulah dia, orang yang kuat.

"Michelle seorang yang rajin dan kuat bekerja. Saya sangat menyayanginya.

"Sebelum majlis itu saya memaklumkan kepadanya agar tidak memakai seluar sebaliknya memilih pakaian dress sesuai kerana dia akan nampak pendek dengan berseluar," katanya ketika ditemui pada acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 - Kebanggaan Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Janet juga melaungkan dengan kuat slogan, Malaysia Boleh! sebaik saja nama Michelle diumumkan sebagai pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi ke-95 yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Michelle, 61, yang berasal dari Ipoh, Perak itu turut mendedikasikan kejayaannya kepada ibu tersayang yang baginya adalah wira sebenar.

"Saya bawa pulang ini (trofi) kepadanya. Dia sedang menonton sekarang di Malaysia, Kuala Lumpur, bersama keluarga dan rakan-rakan saya. Saya sayang kamu semua. Saya bawa pulang ini kepada kamu," katanya dalam ucapannya.

Janet Yeoh pada sidang media mengenai kejayaan Michelle Yeoh. FOTO Rohanis Shukri
Janet Yeoh pada sidang media mengenai kejayaan Michelle Yeoh. FOTO Rohanis Shukri

Sementara itu, personaliti terkenal Hong Kong iaitu Chapman To Man Chak juga menegaskan Michelle adalah rakyat Malaysia dan bukannya berasal dari negara itu, meskipun karier awal lakonan wanita itu bermula di Hong Kong.

"Satu peringatan buat kerajaan Hong Kong. Michelle Yeoh ialah rakyat Malaysia. Jangan ambil kesempatan dan mendakwa beliau rakyat Hong Kong," tulis Chapman To dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosialnya.

Pada 1997, Michelle diperkenalkan di Hollywood sebagai gadis Bond dengan watak Wai Lin dalam filem 007, Tomorrow Never Dies.

Sejak itu, beliau sering mendapat peluang membintangi filem blockbuster Hollywood seperti Guardians of the Galaxy Vol. 2, Crazy Rich Asians, Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings serta siri TV popular, Star Trek: Discovery dan The Witcher: Blood Origin.

Namun, rezeki membintangi filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert sebagai watak Evelyn Quan Wang dalam membawa tuah kepada Michelle memenangi anugerah berprestij di Golden Globe dan Pelakon Wanita Terbaik, Screen Actors Guild Awards 2023 (SAG).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 4:11 PM