Michelle Yeoh. FOTO EPA
Michelle Yeoh. FOTO EPA

Kuala Lumpur : Impak kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh, 61, menjadi orang Asia pertama mengungguli trofi Pelakon Wanita Terbaik di Academy Awards ke-95 atau Oscars, Isnin lalu membuatkan semakin ramai 'berebut' Michelle sebagai milik mereka.

Selepas Hong Kong, segelintir warga China pula mendakwa pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu adalah rakyat yang berasal dari negara mereka.

"Aktres pertama dari China memenangi Oscars. Hooray!" itu antara komen netizen dari sana.

Menerusi laporan portal UDN.com, segelintir netizen negara itu serta-merta mendakwa Michelle adalah sebahagian rakyat mereka. Ia termasuk komen yang menyatakan dia pelakon pertama dari China menang kategori itu di Oscars itu.

Bagaimanapun, sebaliknya laporan dari akhbar China, HK01 mengatakan ramai juga netizen di negara itu mengingatkan bahawa Michelle bukan berasal dari China, tapi Malaysia.

Terdahulu pada Januari lalu, ahli politik Hong Kong iaitu Kevin Yeung mengatakan Michelle adalah pelakon Hong Kong. Namun, fakta itu dibetulkan pelakon dari negara itu sendiri iaitu Chapman To bahawa Michelle sebenarnya dari Malaysia.

Semalam, Yeung turut mengucapkan tahniah atas pencapaian terbaru Michelle itu.

Menurutnya, dia tabik pelakon terbabit yang mula mencipta nama berlakon di sana.

"Kejayaannya menunjukkan kekuatan pelakon-pelakon serta industri hiburan di Hong Kong. Michelle pernah membintangi banyak filem terbitan dari Hong Kong sebelum ini," katanya.

Kelmarin, Michelle menjadi bualan seluruh dunia selepas menjadi warga Asia dan rakyat Malaysia pertama menang trofi itu menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere all at Once.

Filem berkisar kehidupan imigran Asia di Amerika Syarikat itu meraih tujuh trofi secara keseluruhan pada edisi Oscars kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 3:46 PM